Monday, 24 October 2011

Rakyat Tunisia buang undi dalam pilihan raya pertama

TUNIS: Rakyat Tunisia semalam mula keluar mengundi dalam pilihan raya pertama ekoran pemberontakan pembaharuan yang berleluasa di Dunia Arab sejak awal tahun ini, dan dijangka menghasilkan satu perkongsian kuasa buat kali pertamanya kepada sebuah parti berteraskan Islam di negara itu.

Pilihan raya itu, juga proses pengundian bebas buat kali pertamanya dalam sejarah Tunisia, akan menjadi satu piawaian bagi negara-negara Arab lain di mana pemberontakan telah mencetuskan perubahan politik atau pemerintahnya berusaha melancarkan pembaharuan bagi mengelakan pergolakan.

Tunisia melancarkan gelombang gerakan pembaharuan yang diberi istilah 'Arab Spring' di dunia Arab sekitar 10 bulan lalu, apabila bantahan besar-besaran berkaitan dengan kemiskinan, pengangguran dan penindasan pemerintah telah memaksa Presiden Zine al-Abidine Ben Ali melarikan diri ke Arab Saudi.

'Detik-detik inilah yang kami nantikan sepanjang masa,' kata Encik Ahmed, 50 tahun, salah seorang pengundi yang sedang beratur di sebuah pusat pengundian di ibu kota Tunisia.

'Mengapa harus saya melepaskan peluang ini? Dalam sedikit masa lagi, kami akan mencatatkan sejarah,' tambahnya.

Awal pagi semalam, barisan pengundi yang beratur di pusat-pusat pengundian di seluruh negara itu menunjukkan minat yang belum pernah dilihat semasa pemerintahan Encik Ben Ali, yang biasanya dicemari dengan keputusan pilihan raya yang sudah ditetapkan terdahulu.

Pengundian semalam bertujuan membentuk sebuah dewan yang akan melakar perlembagaan baru bagi menggantikan perlembagaan yang dihasilkan oleh Encik Ben Ali bagi mengekalkan kuasanya.

Ia juga akan melantik barisan pemimpin pemerintah dan menetapkan pilihan raya bagi seorang presiden dan parlimen baru di Tunisia.

Pengundian itu dibuka dari 7 pagi hingga 7 malam.

Ibu Mohamed Bouazizi, pemuda yang membunuh diri Disember lalu sehingga mencetuskan pemberontakan di Tunisia, berkata pilihan raya itu adalah satu kemenangan bagi maruah dan kebebasan rakyat negara itu.

'Sekarang saya gembira bahawa kematian anak saya telah memberi peluang mengatasi ketakutan dan ketidakadilan,' kata Cik Manoubia Bouazizi kepada agensi berita Reuters.

Parti Islam Ennahda, yang diharamkan di bawah pemerintahan Encik Ben Ali, dijangka meraih undi terbesar tetapi mungkin terpaksa berkongsi kuasa dengan parti lain kerana golongan elit di Tunisia masih mahu menegakkan nilai sekular mereka. -- Reuters.

Cyberita Online Luar Negara:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment