Saturday 1 October 2011

2 maut lepas bergesel

KUALA KRAI: “Tidak sangka kepulangan saya dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kali ini menghadapi dua kehilangan sekali gus,” kata Siti Nurhafizah Ismail, 16, apabila ibu bapanya maut dalam kemalangan di Kampung Che Wal, di sini, semalam.
Ismail Yaccob, 50, dan isterinya, Ruzainiah Mustapha, 37, maut di tempat kejadian selepas motosikal mangsa bergesel dengan sebuah Perodua Kancil jam 7.30 pagi semalam.

Mangsa juga dirempuh oleh sebuah Proton Persona yang datang dari arah belakang.

Siti Nurhafizah yang juga anak sulung mangsa berkata, dia pulang ke rumah mereka di Kampung Pek, Machang untuk bersama keluarga sempena cuti sekolah.

“Kali terakhir saya jumpa mereka semalam (kelmarin) kerana sebelum kejadian kami adik beradik masih tidur sebelum ayah keluar menghantar ibu ke tempat kerja,” katanya yang menuntut di MRSM, Kuala Lipis, Pahang.

Dalam kejadian itu, Ismail dikatakan dalam perjalanan dari arah Machang ke Kuala Krai untuk menghantar isterinya yang bekerja sebagai kerani di kilang papan berhampiran.


Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abd Rahman Ja’apar berkata, ketika di tempat kejadian, Ismail yang menunggang motosikal hendak memasuki simpang di tempat isterinya bekerja sebelum bergesel dengan sebuah Perodua Kancil yang datang dari arah sama.

Katanya, mangsa dipercayai gagal memasuki simpang lalu hilang kawalan, menyebabkan motosikal mereka dirempuh.

“Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala pemandu kedua-dua kereta terbabit tidak cedera,” katanya.

Selain Siti Nurhafizah, mangsa turut meninggalkan dua anak iaitu Siti Khairunnisa, 14, dan Siti Rasya Aleeya, 6.

Jenazah kedua-dua mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Che Wal selepas bedah siasat selesai.

No comments:

Post a Comment