Saturday, 1 October 2011

Gangguan along

JOHOR BAHRU: Kegagalan melunaskan baki hutang along RM167,000 menyebabkan seorang lelaki hidup dalam tekanan apabila mendakwa diganggu along selepas rumahnya disimbah cat merah di Jalan Mawar 1, Kampung Oren, Ulu Tiram di sini, jam 1.10 pagi semalam.
A Sacitheran, 36, yang juga kontraktor berkata, sebelum kejadian dia menyedari kehadiran sebuah kereta di depan rumahnya hingga menimbulkan rasa curiga sebelum terdengar bunyi bising dari luar rumah.

Terkejut dengan bunyi itu, dia bergegas keluar dan mendapati pakaian serta kasut di luar rumah serta dinding diliputi cat merah disyaki angkara along yang memburunya.

“Hidup saya dan keluarga mula tidak tenteram selepas meminjam daripada along untuk dijadikan modal perniagaan.

“Kami sering diganggu dan diugut bunuh, malah pada 26 Mac lalu, beberapa lelaki menceroboh rumah dan merampas barangan elektrik dengan alasan melunaskan pinjaman.

“Risaukan keselamatan isteri dan tiga anak, saya mengambil keputusan berpindah ke rumah lain kerana khuatir kumpulan sama datang membuat kacau,” katanya.


Sacitheran mendakwa, angkara along, dia terpaksa tidur dalam lokap selama lima hari pada 22 Ogos lalu selepas ditahan polis bagi membantu siasatan berikutan dakwaan diugut along.

Katanya, dia dibebaskan selepas polis selesai menjalankan siasatan terhadapnya dan kini menunggu arahan selanjutnya.

“Kini, hidup kami sekeluarga umpama pelarian dan sudah 11 kali berpindah tapi kali ini, saya nekad tidak akan berpindah dan terus tinggal di rumah sekarang walau apa berlaku.

“Berhubung dakwaan diugut along, saya mendapatkan khidmat guaman bagi mempertahankan hak dan membuat laporan di Balai Polis Ulu Tiram selepas rumah kami dibaling dengan cat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Bori Aduan Awam MCA Negeri Johor, Michael Tay berkata, mangsa sebelum ini pernah merujuk masalah itu kepada pihaknya untuk mendapatkan bantuan.

“Mangsa sepatutnya tampil untuk berbincang dan tidak terlalu mengikut emosi walaupun dia kini dalam keadaan tertekan kerana diganggu along,” katanya.

No comments:

Post a Comment