Saturday, 1 October 2011

Fitnah di laman sosial



GEORGETOWN - Gara -gara memfitnah di dalam laman sosial, seorang pesara yang merupakan bapa kepada bekas pelajar pusat latihan automotif itu diperintah membayar RM100,000 sebagai ganti rugi dan kos.

Pesuruhjaya Kehakiman, Varghese George Varughese memerintahkan Leong Yook Kong, 64, membayar RM60,000 sebagai ganti rugi am, RM15,000 ganti rugi teruk dan RM25,000 kos ke atas tiga kiriman berbentuk komen dihantar oleh defendan antara November dan Disember tahun lalu terhadap Auto DeSpark (Pulau Pinang) Sdn Bhd di dalam laman sosial peribadi Facebook.

Varghese turut mengeluarkan perintah menghalang defendan daripada terus menerbit dan menyiarkan kiriman berbentuk fitnah yang sama ataupun menyerupai di dalam mana-mana media.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati kiriman atau perkataan yang terkandung dalam kiriman dimuat naik oleh defendan itu secara jelas merujuk kepada plaintif.

“Setelah berpuas hati terdapat unsur fitnah dalam tiga kiriman itu, mahkamah berpendapat defendan gagal membuktikan apa-apa pembelaan yang dibangkitkan oleh mereka.

“Mahkamah turut mendapati komen-komen yang dibuat dalam kiriman laman sosial itu secara jelas berniat jahat dan dakwaan itu adalah serius serta boleh mendatangkan kesan yang buruk kepada pusat latihan automotif berkenaan,” katanya.

Terdahulu, sebuah pusat latihan teknologi automotif swasta memfailkan saman ke atas seorang bapa bekas pelajar pusat itu yang didakwa menghantar tiga kiriman berbentuk komen di dalam laman sosial Facebook peribadinya.

Despark Auto menuntut ganti rugi daripada Yook Kong yang menghantar tiga kiriman yang memfitnah pusat latihan itu menjalankan aktiviti jenayah termasuk rasuah dan menipu.

Ketika bicara, tenaga pengajar merangkap pegawai hal ehwal pelajar, Eng Kooi Chuan berkata, selepas kiriman terbabit dimuat naik dalam laman sosial itu, enam pelajar meninggalkan pusat itu.

Plaintif diwakili N Rajivan dan Ruebankumar manakala Yook Kong oleh K Paramanathan.

No comments:

Post a Comment