Saturday, 1 October 2011

Pelajar maut nahas diseret lori 20 meter

JERANTUT: Seorang pelajar perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi, maut dalam kemalangan di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.53 petang itu, Nur Zulaikha Othman, 17, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala rakannya yang membonceng, patah kaki serta cedera di kepala, dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.


Kakak mangsa, Zawiyahah Othman, 28, berkata dia dimaklumkan oleh rakan adiknya jam 6.30 petang.


“Saya tidak menjangka adik bongsu terbabit dalam kemalangan itu kerana dia seorang yang tidak gopoh atau laju menunggang motosikal, malah tidak menunjukkan apa jua perubahan sepanjang Syawal lalu.


“Dia (arwah) juga tidak ada masalah dan suka berperangai keanak-anakan apabila bergurau dengan anak saudaranya, malah kerap menghubungi semua abang dan kakaknya,” katanya.


Zawiyayah berkata, adiknya keluar dari rumah di Kampung Lata Kasah, di sini, jam 4.30 petang untuk mengambil seorang lagi kakaknya di sebuah taska di kawasan perumahan dekat bandar ini jam 6.30 petang.




Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Muhaimin Jaafar berkata, kejadian berlaku jam 5.53 petang di laluan sempit sehala Sungai Jan, di sini, dan mangsa dipercayai menunggang melawan arus memasuki jalan sehala sebelum bertembung lori yang datang dari arah Kuala Tembeling.


Katanya, mangsa mati di tempat kejadian selepas terseret 20 meter dan tersepit pada tayar belakang lori manakala motosikalnya tersangkut pada bahagian depan.

No comments:

Post a Comment