Saturday 1 October 2011

Suspek samun Maria Arshad ditahan



AMPANG – Suspek kes samun pelakon, Datin Maria Arshad diberkas Isnin lalu dan dipercayai pernah terlibat 25 lagi kes samun sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, suspek berusia 26 tahun itu diberkas ketika menaiki motosikal bersama seorang lagi suspek kerana berlegar-legar dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, polis menerima maklumat daripada seorang wanita berusia 35 tahun yang disamun bersama empat lagi mangsa ketika berkunjung ke rumah rakannya di Lembah Keramat pada jam 10.05 malam.

Katanya, kelima-lima mangsa disamun selepas diserbu masuk sekumpulan lelaki yang menggu

nakan topi keledar bertutup dan bertindak mengacukan parang kepada mangsa.

“Sekumpulan lelaki tersebut kemudian melarikan barang-barang berharga milik mangsa antaranya wang tunai, barang kemas, telefon bimbit dan dompet yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM26,800,” katanya.

Menurutnya, anggota polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah bertindak pantas selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 11.05 malam sebelum terserempak dengan kedua-dua suspek yang cuba melarikan diri tetapi salah seorang daripadanya terjatuh.

“Kita berjaya tahan suspek itu dan menjumpai sebilah parang berukuran kira-kira sembilan inci di badannya manakala rakannya melarikan diri.

“Polis juga mengenal pasti motosikal tersebut tetapi siasatan lanjut mendapati ia menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di sini semalam.

Amiruddin berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan bagi mengesan saki-baki kumpulan tersebut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Suspek mengaku terlibat dalam 25 kes samun di sekitar daerah ini malah mengaku mempunyai kaitan dengan kes samun pelakon wanita itu,” katanya.

Amiruddin berkata, suspek kini direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, pada 13 September lalu Maria dikatakan disamun di hadapan sebuah rumah di Taman Melawati kira-kira jam 3.30 petang.

Suspek melarikan beg tangannya menyebabkan pelakon itu kerugian kira-kira RM20,000.

No comments:

Post a Comment