Saturday 1 October 2011

Dua sahabat mengaku tak salah rompak wanita



AYER KEROH - Dua sahabat dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana merompak pelbagai barangan bernilai RM15,000 milik seorang wanita, Jun lalu.

Tertuduh, K Renungganan dan S Kamal Raj, masing-masing berusia 25 tahun bagaimanapun tidak mengaku bersalah di hadapan Hakim Zaharah Hussain.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didapati telah merompak kad Maybank dan kad BSN milik pengadu serta suaminya, lesen memandu kelas D milik suami pengadu, kad insurans Manulife, seutas rantai emas, seutas gelang tangan emas, sepasang subang emas, telefon bimbit Nokia, wang tunai berjumlah RM3,000, telefon Sony Ericson, MyKad pengadu dan MyKid anak-anak pengadu yang kesemuanya bernilai RM15,000.

Kedua-dua tertuduh yang bersenjatakan parang melakukan kesalahan itu di Taman Angkasanuri, Durian Tunggal, Alor Gajah, kira-kira jam 2 petang pada 1 Jun 2011.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama di bawah Seksyen 34 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shazwani Ishak ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan tidak bekerja dan isteri salah seorang daripada mereka sedang hamil.

Setelah mendengar permohonan kedua-dua pihak, Zaharah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin selain turut menetapkan 31 Oktober depan sebagai tarikh sebutan bagi lantikan peguam.

No comments:

Post a Comment