Saturday, 1 October 2011

Port judi digempur lagi



KUANTAN - Seramai 26 individu dipercayai kaki judi termasuk penjaga premis tergamam apabila premis perjudian yang berselindung di sebalik pusat internet haram sekitar Gebeng dan Taman Tas dekat sini diserbu sepasukan anggota daripada Cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) yang menjalankan operasi Ops Dadu (Mesin Perjudian) malam kelmarin dan petang semalam.

Hasil operasi bersepadu melibatkan Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang itu, sebanyak 89 unit komputer yang dianggarkan bernilai lebih RM260,000 dirampas manakala seramai 26 individu ditahan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, hasil pemeriksaan ke atas enam premis itu mendapati, kebanyakan daripadanya pernah diserbu beberapa kali sebelum ini.

Menurutnya, premis tersebut juga dikesan pernah dikenakan tindakan termasuk pembatalan lesen oleh Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagaimanapun ada pengusahanya terus berdegil menjalankan kegiatan itu secara haram.

“Kegiatan itu bagaimanapun sentiasa dipantau pihak polis khususnya cawangan D7 namun ada segelintir pengusaha terus berdegil menjalankan kegiatan tersebut demi mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

“Aktiviti ini juga mendapat permintaan tinggi daripada kaki judi berusia antara 20 hingga 40 tahun yang sentiasa berkunjung ke premis seperti itu untuk mencuba nasib,” katanya.

Mohd Jasmani berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati antara permainan judi secara talian yang popular di kalangan kaki judi termasuk jackpot dan roulette.

“Walaupun pengusaha premis ini agak licik mengelabui mata pihak berkuasa namun kecekapan pasukan serbuan yang diketuai dua pegawai termasuk seorang pakar judi berjaya membongkar kegiatan mereka,” katanya.



Serbuan serentak

Beliau berkata, serbuan dilakukan secara serentak ke premis yang dikenal pasti dalam sesuatu kawasan bagi mengelak penjaga premis atau pemain meloloskan diri.

“Kerana terlalu leka bertaruh secara online, ramai individu dipercayai kaki judi ini berjaya ditahan dalam operasi yang dijalankan kali ini,” katanya.

Beliau berkata, pemilik premis yang menyediakan permainan berunsur perjudian ini dikesan memasang lampu berwarna-warni di luar kedai sebagai isyarat kepada kaki judi terhadap perkhidmatan yang disediakan.

“Polis tidak akan mendiamkan diri malah sentiasa mengambil tindakan tegas bagi membendung aktiviti tidak sihat ini.

“Semua individu yang ditahan akan dibawa ke IPD Kuantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 4 (1)(b) Eknekmen Hiburan 1993 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun,” katanya.

Mohd Jasmani berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada MPK, TNB dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan pembatalan lesen, pemotongan elektrik, dan penamatan khidmat internet ke premis tersebut.

No comments:

Post a Comment