Saturday, 1 October 2011

Bertarung nyawa dalam api



SENAI – Ibu kepada dua anak meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati selepas bertarung nyawa kira-kira 10 minit kerana terperangkap di dalam keretanya yang terbakar di Kilometer 29.9 Lebuhraya Kedua (2nd Link) kira-kira 7.45 pagi, kelmarin.

Ketika kejadian, mangsa, Nor’izah Abdullah Omar, 46 yang memandu dari arah Senai-Nusajaya hanya seorang diri dan sedang dalam perjalanan dari kediamannya di Taman Desa Idaman untuk ke tempat kerja.

Lebih memilukan apabila mangsa, yang bertugas sebagai kerani di sebuah kilang perabot berhampiran Taman Senai Utama sempat menghubungi rakan sekerjanya meminta pertolongan sebelum dia ditemui rentung di dalam keretanya.

Rakan sekerja mangsa, Nor Azman Jaaman berkata, beliau bergegas ke lokasi kejadian meninjau keadaan Nor’izah setelah salah seorang kakitangan kilang itu menerima panggilan daripada mangsa kira-kira jam 7.49 pagi.

“Dia minta tolong daripada rakan saya tetapi talian telefon terputus sebelum sempat memberitahu lokasi dia berada.

“Kemudian, rakan sekerja lain yang turut menggunakan laluan sama memberitahu ternampak sebuah kereta terbakar kira-kira jam 7.55 pagi ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Kami mengesyaki sesuatu yang buruk terjadi kepada Nor’izah dan bergegas ke lokasi kejadian untuk membantunya namun dia tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Nor Azman berkata, Nor’izah seorang pendiam dan tinggal bersama ibunya manakala kedua-dua anaknya yang berusia 21 dan 20 tahun melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Supritendan Zulkefly Yahya berkata, berdasarkan siasatan, kereta jenis Proton Satria yang dipandu mangsa dipercayai terbabas sebelum terbalik ke dalam longkang di kiri bahu jalan.

“Akibat kemalangan itu menyebabkan kenderaan mangsa terbakar manakala mangsa yang gagal menyelamatkan diri untuk keluar dari keretanya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulaijaya, Masnon Idris ketika ditemui berkata, api kenderaan berjaya dipadam dalam tempoh dua minit sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian pada jam 8.20 pagi.

“Kami mengubah kedudukan kenderaan yang terbalik sebaik sahaja api berjaya dipadamkan dan mendapati terdapat seorang mangsa rentung di tempat duduk pemandu.

“Kebakaran dipercayai berlaku akibat kebocoran minyak kenderaan dari kesan hentakan kemalangan itu.

“Kenderaan mangsa juga dipercayai terbalik beberapa kali berdasarkan kesan pada jalan raya yang menunjukkan mangsa terbabas sejauh kira-kira 50 meter sebelum terbakar,” katanya.

Selain kenderaan mangsa, barang-barang peribadi termasuk kad pengenalan mangsa turut hangus dalam kebakaran itu.

No comments:

Post a Comment