2011/10/02
FOTO Kumpulan Perisikan Site menunjukkan Awlaki menguji senapang di satu lokasi tidak dinyatakan.
SANAA: Kumpulan pengganas Yaman dianggap paling berbahaya kepada Amerika Syarikat disebabkan kemampuannya menyebarkan ideologi mereka di negara Barat dalam bahasa tempatan.
Serangan kelmarin dipercayai kali pertama warga Amerika dijejaki dan dibunuh berdasarkan sumber perisikan dan arahan presiden.
Awlaki termasuk dalam senarai ‘bunuh atau tangkap’ Agensi Perisikan Pusat (CIA) pentadbiran Presiden Barack Obama pada April 2010, warga Amerika pertama menjadi sasaran.
Seorang lagi warga Amerika yang dibunuh, Samir Khan, menerbitkan majalah web berbahasa Inggeris, Inspire yang memaparkan ideologi al-Qaeda yang anti Barat malah menawarkan artikel melakukan serangan termasuk ‘Buat bom di dapur ibu.’
Kebolehan mereka menyebabkan beratus-ratus militan al-Qaeda yang bersembunyi di Yaman dianggap ancaman lebih besar berbanding rakan mereka di Afrika Utara, Somalia atau timur Asia.
Obama menyifatkan serangan itu sebagai tamparan hebat terhadap operasi satu kumpulan al-Qaeda yang paling aktif selain menggelar Awlaki, 40, sebagai ‘ketua operasi luar.’
“Beliau berperanan mengetuai rancangan dan mengarahkan usaha membunuh rakyat Amerika yang tidak bersalah,” kata Obama kepada wartawan di Washington.
Beliau menuduh Awlaki merancang cubaan pengeboman pesawat pada Krismas 2009 dan cubaan yang gagal pada 2010 untuk menghantar bahan letupan ke Amerika.
Kematian Awlaki adalah kejayaan besar pemerintahan Obama dalam kempen intensif untuk menghapuskan kepemimpinan al-Qaeda selepas pembunuhan Osama bin Laden di Pakistan, Mei lalu.
Serangan terhadap Awlaki itu diarahkan oleh unit khas Amerika yang turut mengarahkan serangan terhadap tempat persembunyian Osama.
Selepas tiga minggu menjejaki sasaran, pasukan bersenjata Amerika dan jet pejuang menjejaki konvoi Awlaki, melakukan serangan pada awal kelmarin.
Awlaki dan pasukannya bergerak di kawasan gurun di wilayah timur ibu negara Yaman berdekatan kampung Khasaf antara pergunungan di wilayah Jawf dan Marin, kata pegawai Yaman dan Amerika.
Ketua puak di kawasan itu memberitahu AP, abang salah seorang mangsa menyaksikan serangan itu. – AP
INFO: Anwar al-Awlaki
No comments:
Post a Comment