Saturday 1 October 2011

Peniaga maut

KUALA LUMPUR: Malang tidak berbau. Itulah nasib yang menimpa seorang ahli perniagaan apabila dibunuh dalam cubaan samun di Cheras, malam kelmarin.
Difahamkan, mangsa Phang Choon Puck, 25, ketika itu dalam perjalanan ke rumah dari sebuah pusat sukan di pusat beli-belah berhampiran.

Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, mangsa didatangi suspek yang cuba menyamun, menyebabkan dia menjerit meminta tolong dan sempat melarikan diri sebelum rebah di depan sebuah rumah di Jalan Mutiara Timur 4, kira-kira 60 meter dari rumahnya.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, mangsa yang ditikam di dada disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Jeritan mangsa didengari jiran yang keluar untuk memeriksa sebelum menemui mangsa terbaring berlumuran darah akibat cedera parah.

“Hasil pemeriksaan ke atas mangsa yang berpakaian sukan menemui beg duit dan telefon bimbit dipercayai tidak sempat dilarikan suspek,” katanya di lokasi kejadian.


Mohan berkata, pihaknya tidak menolak kes itu bermotifkan cubaan samun.

Katanya, polis akan mendapatkan keterangan daripada pengawal keselamatan di kawasan berhampiran dan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam kawasan kejiranan bagi membantu siasatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan saksi kejadian diminta menghubungi Rakan Cop Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999.

Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment