Saturday, 1 October 2011

Pemerintah tentera Mesir terus diasak





2011/10/02

SEAN PENN berjalan bersama penunjuk perasaan Mesir di Dataran Tahrir.
SEAN PENN berjalan bersama penunjuk perasaan Mesir di Dataran Tahrir.
Pelakon terkenal Amerika turut sertai rakyat protes tuntut peralihan kuasa dipercepat

KAHERAH: Aktor Amerika Syarikat, Sean Penn, menyertai beribu-ribu aktivis Mesir memenuhi pusat bandar Kaherah kelmarin yang mendesak pemerintah tentera mempercepat peralihan kuasa kepada orang awam dan menamatkan undang-undang darurat era bekas presiden Hosni Mubarak.
Penn memegang bendera Mesir sambil berjalan bersama pelakon Mesir, Khaled al Nabawi di Dataran Tahrir, tempat rakyat Mesir mengadakan tunjuk perasaan untuk ‘Menuntut Kembali Revolusi’ ketika semakin ramai tidak puas hati dengan cara tentera menguruskan tempoh peralihan.
“Usaha berani rakyat Mesir mendapatkan kebebasan memberi inspirasi kepada dunia,” kata Penn dalam kenyataan yang disiarkan muka surat depan akhbar Al Ahram. 

“Jelas, ia bukan boleh dilakukan semalaman, masih ada kesukaran yang terpaksa dihadapi termasuk isu perlembagaan dan peralihan kuasa tentera kepada rakyat,” tambahnya. 

Nabawi berkata, beliau menjemput pemenang Oscar itu melawat Mesir sebagai usaha untuk menunjukkan Mesir selamat dilawati walaupun ketika penduduknya melakukan protes. 

“Kami mahu tunjuk bahawa Mesir selamat,” kata Nabawi. 
Majlis tentera mengumumkan pilihan raya parlimen akan bermula pada 28 November dengan sistem perwakilan pelbagai parti dan calon bebas.

Tetapi, ramai di kalangan pemerhati politik bimbang sistem ini akan membenarkan penyokong Mubarak kembali berkuasa.

“Minggu ini berbeza kerana kita rasa revolusi kami sudah dirampas daripada kita semua,” kata penganggur, Yasser Fouad, 38, menerusi pembesar suara bagi mententeramkan penunjuk perasaan.

“Tidak satu pun permintaan kita dipenuhi. Kami mahu mereka serah kuasa segera menerusi pilihan raya,” kata Fouad.

Seorang kakitangan Kementerian Kesihatan, Mahmoud Sayyid Saif, 58, berkata rakyat Mesir sudah hilang sabar. 

“Sudah tujuh bulan tapi tiada apa berlaku,” katanya. Majlis pemerintah tentera sudah memberi amaran kepada penunjuk perasaan supaya tidak merosakkan harta awam tetapi askar serta pasukan keselamatan tidak menghampiri dataran.

Parti politik terbesar Mesir, Ikhwan Muslimin berkata dalam laman webnya, pihaknya tidak akan menyertai tunjuk perasaan itu. Tetapi, media sosial berkata, ramai belia berikrar mengingkari arahan pemimpin kumpulan itu dan menyertai protes. 

Perintah darurat sepatutnya berakhir semalam tetapi majlis tentera berkata ia akan diteruskan sehingga tahun depan.

“Perintah darurat sudah tiba ke akhirnya pada 30 September. Mengikut Artikel 59, Perlembagaan dan sebarang keputusan atau perintah undang-undang selepas tarikh itu berdasarkan perintah darurat akan terbatal,” kata enam calon presiden dalam satu kenyataan. – Reuters/Agensi

INFO
  • Tentera ambil alih kuasa daripada Mubarak sejak tujuh bulan lalu
  • 60 parti politik mahu undang-undang hukum salah guna kuasa
  • Ikhwanul Muslimin enggan sertai protes terhadap pemerintah baru tetapi anggota muda pergerakan itu mahu ambil bahagian.
  • No comments:

    Post a Comment