Saturday 1 October 2011

PAS tak akan ubah prinsip asas parti



Oleh Fazli Abdullah dan Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@bharian.com.my
2011/10/02

PESURUHJAYA PAS Pulau Pinang, Datuk Salleh Man (kiri) menyambut   Hadi dan   Mohamad Sabu pada Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di  Kepala Batas, semalam.
PESURUHJAYA PAS Pulau Pinang, Datuk Salleh Man (kiri) menyambut Hadi dan Mohamad Sabu pada Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Kepala Batas, semalam.
Terus perjuang dasar Islam ikut al-Quran, Sunnah 

KEPALA BATAS: PAS tidak akan mengubah prinsip asas parti itu memperjuangkan dasar Islam dengan berpandukan al-Quran dan Sunnah, kerana ia berasaskan tunjang teguh dan tidak akan hanyut walaupun dijajah, kata Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang.
“PAS mempunyai acuan sendiri ditunjukkan Allah dan diajar Nabi. Kita perlu faham dan PAS mahu mengembalikan umat Islam berdemokrasi. Kami juga terbuka, PAS boleh menerima kemenangan, boleh menerima kekalahan,” katanya merasmikan Kongres Sambutan 60 Tahun PAS di Dewan Millenium, di sini semalam.
Hadir sama, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalan Presiden, Mohamad Sabu. 

Hadi berkata, PAS sebuah parti politik Islam terawal ditubuhkan di Asia Tenggara dan mempunyai pengalaman serta mengharungi pelbagai cabaran sejak penubuhannya. 

Mengenai isu hudud, beliau berkata, PAS tidak akan memaksa bukan Islam menerima undang-undang Islam seperti mana tidak memaksa mereka menerima Islam. 

Nik Abdul Aziz yang mengulangi harapannya melihat hudud dilaksanakan di negara ini jika pakatan pembangkang berjaya membentuk kerajaan, pula menegaskan hukum berkenaan bukan satu ideologi, sebaliknya wajib dilaksanakan dalam undang-undang Islam. 
“Saya berdoa begitulah sebab hudud bukannya ideologi, hudud sama seperti sembahyang, puasa dan zakat. Sebagai mana yang lain wajib, ia (hudud) juga wajib. Malaysia ada hukum gantung, contohnya bawa dadah hukumannya mandatori gantung, bawa senjata api hukum gantung. 

“Kenapa hukum gantung boleh terima? Orang tangan kudung pun boleh jadi Perdana Menteri... tak apa. Bukan senang hendak jatuhkan hukuman (hudud) kerana ada syarat dan prosedur,” katanya kepada pemberita pada kongres itu. 

Mengulas sama ada PAS bersedia untuk berdamai dengan UMNO pada masa depan, Nik Abdul Aziz berkata, pihaknya masih membuka pintu rundingan namun pemimpin UMNO perlu berubah dengan berpegang kepada ajaran Islam. 

“Hendak kata selama-lamanya (bermusuh dengan UMNO) tidak bolehlah... doa kita supaya hati orang Islam berubah daripada nasionalis kepada Islam. Orang tidak sokong ini adalah Melayu nasionalis, sekarang ini pun orang Cina dan India pun ada dalam kelab menyokong PAS dikenali Dewan Himpunan PAS,” katanya. 

Katanya, PAS pernah berdamai dengan UMNO menerusi penyertaannya dalam Barisan Nasional (BN) pada 1973, malah beliau antara yang menyokong kuat penggabungan itu. 

“Tetapi bila kami masuk, dia (BN) tendang kami kerana rasa gagah.Inilah UMNO yang tidak berasas kepada agama yang mengajar kita mensyukuri nikmat Allah... bukan senang gerakan Islam hendak masuk gerakan nasionalis. Sekarang dia ajak kami,” katanya. 

Sementara itu, sekumpulan 37 ahli PAS Cawangan Bakau Tua, Penaga, mengisytiharkan keluar parti itu.Mereka yang rata-rata berusia 20-an dan sudah berdaftar sebagai pengundi, membuat keputusan keluar parti kerana kecewa dengan kepemimpinan PAS yang gagal membantu kebajikan ahli. 

Kumpulan itu yang diketuai Roslan Abdullah, 26, menyerahkan borang keahlian menyertai UMNO kepada Ketua UMNO Cawangan Bakau Tua, Azhar Zainal Abidin yang kemudian menyerahkannya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga, Datuk Azhar Ibrahim.

No comments:

Post a Comment