Saturday, 1 October 2011

Mangsa terjatuh bangunan mati



KUANTAN - Selepas lebih 13 jam koma, seorang warga emas yang dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah hotel di sini akhirnya meninggal dunia, malam semalam.

Sebelum itu mangsa yang dikenali sebagai Jean berusia 60 tahun itu menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) selepas mengalami pendarahan dalaman akibat kemalangan itu, kira-kira jam 8.59 pagi kelmarin.

Mangsa ditemui masih hidup di kawasan berumput berhampiran bangunan hotel itu kira-kira jam 9 pagi oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan dan Jabatan Penyelamat Awam Malaysia (JPAM) selepas menerima panggilan daripada pihak pengurusan hotel terbabit.

Dalam pada itu, anak perempuan mangsa berusia 30-an yang tidak mahu dikenali memberitahu, ayahnya langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan dan berperangai pelik sebelum kejadian.

Menurutnya, ayahnya bersikap biasa dan mengakui hingga kini, dia dan keluarganya terutama ibunya trauma dan masih tidak dapat menerima tindakan yang dilakukan mangsa.

“Kami sedang menunggu ayah untuk bersarapan bersama namun dia tidak muncul sehinggalah dikejutkan dengan berita sedih, ayah ditemui terdampar berhampiran bangunan hotel,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Chang Hong Seong yang ditemui ketika penghormatan terakhir mendiang menyifatkan kejadian ini sebagai kemalangan bukannya bunuh diri.

“Pihak hotel seharusnya meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan itu berikutan kejadian warga emas terjun dari bangunan itu.

“Kemungkinan reka bentuk pagar yang tidak sesuai dan ia harus diteliti semula sekiranya kes sama berulang,” katanya di tempat pembakaran mayat mangsa kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Jasmani Yusoff berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa datang bersama tiga lagi ahli keluarganya, isteri, anak dan cucunya untuk bersarapan di hotel itu.

Menurutnya, mangsa naik seorang diri ke tingkat tersebut dan menerusi pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa terjun pada jam 8.59 pagi.

“Mangsa tinggal di Bukit Sekilau dan seorang pesara yang membantu perniagaan keluarganya di pusat rawatan kesihatan haiwan di Jalan Haji Ahmad di sini.

“Ketika ditemui, mangsa masih sedar dan siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah. Kita menunggu saja laporan daripada pihak hospital,” katanya dalam sidang akhbar di hotel itu.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamarulzaman Jaafar.

Jasmani menggesa supaya saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan lanjut kejadian itu yang disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh diri.

No comments:

Post a Comment