Pemandu van, G Ganesan, 36, berkata dia yang berhenti bagi membeli peralatan elektrik di sebuah kedai tidak menyangka niatnya mengajak rakan sekerja, Sebastian Fancis, 46, untuk turun bersama menyelamatkan nyawa mereka.
“Selalunya saya minta Sebastian tunggu sebentar di dalam van, sementara saya membeli semua kelengkapan elektrik tetapi hari ini (semalam) saya minta dia turun dan membantu sekali.
“Sebaik kami turun, saya terdengar jeritan orang ramai dan melihat sebuah lori sampah sudah merempuh van yang diletakkan di tepi jalan itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Difahamkan, dalam kejadian jam 11.30 pagi, lori sampah dengan muatan lebih 10 tan dalam perjalanan ke Kepong hilang kawalan ketika menuruni bukit di Jalan Ampang-Hulu Langat kerana mengalami masalah brek hingga merempuh van Tenaga Nasional Berhad itu.
Pemandu lori yang juga penduduk tetap warga Indonesia, Yanto, 42, berkata apabila brek lorinya gagal berfungsi, dia terpaksa membelok ke kanan jalan bagi mengelak kenderaan itu terjunam ke dalam gaung.
“Saya terpaksa membelok ke kanan jalan dengan harapan kelajuan lori dapat dikurangkan dan berhenti dengan selamat, malangnya terpaksa merempuh sebuah van yang diletakkan di situ,” katanya.
Susulan rempuhan itu, van terbabit diseret 10 meter sebelum kedua-dua kenderaan terhumban di tebing dan menghempap enam motosikal penduduk.
No comments:
Post a Comment