Saturday 1 October 2011

Sepasang anak beranak ditahan

HULU SELANGOR: Sepasang anak beranak antara lima yang ditahan dipercayai berkaitan kes pembunuhan kejam suami isteri yang dalam perjalanan untuk menoreh getah di Batu 30, Hulu Yam, di sini, Rabu lalu.
Difahamkan, lelaki berusia 44 tahun yang bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat bas bersama anak lelakinya berusia 16 tahun ditahan sepasukan polis di rumah mereka di sini dalam operasi khas, kelmarin.

Tiga lagi suspek berusia antara 23 hingga 35 tahun ditahan di beberapa lokasi berasingan di daerah berkenaan antara jam 5 petang hingga 8 malam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy berkata, hasil siasatan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes samun.

Dua daripada mereka bekerja sebagai penoreh getah manakala seorang lagi pekerja kebun sayur. Kami masih menyiasat motif pembunuhan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, L Ramasandram, 57, dan isterinya A Bakiam, 51, yang dalam perjalanan untuk menoreh getah dengan menunggang motosikal diserang sebelum dibunuh menggunakan senjata tajam.


Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, penyerang dipercayai bersembunyi dalam semak di tepi jalan sebelum menggunakan sebatang besi untuk menjatuhkan motosikal mangsa. Siasatan awal polis mendapati motosikal mereka dipercayai dihalang dengan sebatang besi, menyebabkan mangsa terjatuh sebelum ditetak dengan senjata tajam. di beberapa bahagian badan, termasuk kepala dan kedua-dua tangan.

No comments:

Post a Comment