Dalam kedua-dua kejadian itu, seorang parah, dua cedera ringan dan dua lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, dalam kejadian pertama, seorang pemandu, Mohd Nudi Ibrahim, 26 dari Pasir Mas, Kelantan terbunuh selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah kenderaan lain di KM25, Jalan Pekan- Nenasi, kira-kira jam 7 petang kelmarin.
Menurutnya, dua penumpang kenderaan yang dipandu mangsa terselamat bagaimanapun seorang daripada mereka mengalami kecederaan parah.
“Pemandu kereta jenis Honda yang turut terlibat dalam nahas itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.
Mohamed Fauzi berkata, mangsa bersama dua penumpang dipercayai dalam perjalanan dari arah Johor Bharu ke Penor, Kuantan.
“Ketika tiba di lokasi nahas, kenderaan yang dipandunya dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lagi kereta yang datang dari arah depan.
“Mangsa yang parah disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan menerima rawatan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan,” katanya.
Beliau berkata, kejadian berlaku di satu laluan berselekoh manakala keadaan persekitaran gelap kerana tiada lampu jalan.
Sementara itu, dalam satu lagi nahas, seorang penunggang, Khairulizuan Zakaria, 22 dari Kampung Permatang Durian 2, Merchong, Pekan maut dirempuh sebuah kereta selepas terjatuh dari motosikalnya akibat terlanggar kenderaan pacuan empat roda di KM148.2, Jalan Kuantan Johor Bharu.
Mohamed Fauzi berkata, mangsa yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, nahas berhampiran Perumahan Komuniti, Jabatan Pertanian Rompin itu dipercayai berlaku kira-kira jam 8.45 malam.
“Kenderaan pacuan empat roda yang datang dari arah Johor Bharu dipercayai cuba memasuki simpang masuk ke kawasan perumahan terbabit.
“Mangsa yang datang dari arah hadapan gagal mengelak lalu melanggar kenderaan terbabit menyebabkan dia tercampak jatuh ke laluan bertentangan.
“Pada masa yang sama sebuah kereta yang berada di laluan tersebut gagal mengelak lalu melanggar mangsa yang terbaring di atas jalan,” katanya.
Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dua buah kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kemalangan yang meragut nyawa pemandu dan penunggang itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1957,” katanya.
No comments:
Post a Comment