Wednesday, 28 September 2011

Ugut bunuh

KUALA LUMPUR: Berang kerana isteri enggan memberikan wang RM1 juta kepadanya, seorang suami berusia lewat 40-an bukan saja mengugut untuk membunuh wanita terbabit, malah mahu melakukan perbuatan sama kepada dua anak lelaki mereka, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari di kediaman mereka di Desa Pandan, di sini, si suami yang memegang pisau mengugut untuk membunuh isterinya itu yang bekerja sebagai pegawai bank berusia 45 tahun dan dua anak lelaki mereka sebelum membunuh diri, jika enggan memberikan wang berkenaan.

Menurut sumber, kejadian bermula apabila suspek pulang ke rumahnya dalam keadaan marah sebelum memaki hamun mangsa tanpa sebab.

“Suspek meminta mangsa memberikan wang RM1 juta kepadanya. Mangsa memberitahu suaminya bahawa dia tidak mempunyai wang menyebabkan lelaki terbabit menjadi bertambah berang.

“Suspek kemudian bergegas ke dapur dan mengambil sebilah pisau sebelum mengugut akan mencederakan mangsa,” katanya.

Sumber berkata, disebabkan mangsa hanya mendiamkan diri, suspek mengugut untuk membunuhnya dan dua anak mereka.


“Bimbang ugutan itu, mangsa mendakwa akan berusaha mendapatkan wang itu menyebabkan suspek kembali tenang,” katanya.

Katanya, suspek kemudian meninggalkan rumah selepas mangsa berjanji memberikan wang dimintanya itu.

Berikutan itu, mangsa tampil ke Balai Polis Kampung Pandan, di sini, membuat laporan mengenai kejadian berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment