Wednesday 28 September 2011

Lima lelaki ditangkap ketika leka berjudi di kafe siber

PULAU PINANG 28 Sept. – Polis menahan lima lelaki yang sedang leka bermain judi di tiga kafe siber di Desa Baiduri, Air Itam semalam, dua hari selepas pihak berkuasa itu mengumumkan untuk mengheret kaki judi di negeri ini ke muka pengadilan.
Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, siasatan lanjut ke atas kelima-lima lelaki berusia lingkungan 20-an itu sedang dijalankan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan.
Menurut beliau, selain kaki judi, turut ditahan tiga lelaki lain yang merupakan penjaga tiga premis siber berkenaan serta merampas tiga modem, 29 set komputer dan sebuah buku catatan.
“Siasatan ke atas kesemua pemain itu disegerakan sebelum kita rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan menuduh mereka di mahkamah sebagai kes contoh. Begitu juga dengan ketiga-tiga penjaga berkenaan, mereka juga akan dirujuk untuk proses pendakwaan.
“Ini menunjukkan bahawa kita komited dengan apa yang kita cadang dan bukan hanya bercakap kosong,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Anti Pemerdagangan dan Penyeludupan Pekerja Asing di sini hari ini.
Ahad lalu, Ayub dalam sidang akhbar di pejabatnya mengumumkan akan melaksanakan undang-undang mengheret kaki judi di premis kafe siber ke muka pengadilan.
Polis memang mempunyai kuasa untuk mendakwa penganjur, penjaga premis dan pemain judi di mahkamah mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Perjudian 1953.
Bagaimanapun, kaki judi kebiasaannya dibebaskan selepas keterangan diambil memandangkan mereka diperlukan sebagai saksi.
Jelas Ayub, polis tidak menguatkuasakan undang-undang itu sebelum ini bagi mengenal pasti mekanisme yang lebih baik dalam proses pelaksanaannya untuk mengelak ada pihak teraniaya.
“Dahulu, bila dapat maklumat kita terus serbu sahaja. Mungkin dalam 10 yang berada dalam kafe siber itu, hanya dua orang yang main judi. Jadi kita tidak mahu menganiayai mereka yang datang untuk tujuan baik seperti mengakses Internet atau mencari maklumat.
“Sekarang kita rancang dan siasat dulu premis tersebut, baru kita serbu. Ini secara tidak langsung memudahkan urusan siasatan dan pendakwaan nanti,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ayub mencadangkan supaya Kerajaan DAP Pulau Pinang menyediakan zon tertentu yang dikhaskan untuk premis kafe siber beroperasi.
Katanya, ia bagi memudahkan urusan pemantauan oleh polis selain mengelak berlaku salah guna oleh pihak-pihak tertentu untuk tujuan perjudian dan jenayah lain.
Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment