Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin dan Ahmad Rabiul Zulkifli
bhnews@bharian.com.my
2011/09/29
BAYI kembar siam yang dilahirkan pada 22 September lalu kini ditempatkan di HSNZ.
KUALA TERENGGANU: Biarpun gembira dikurniakan sepasang bayi kembar siam yang bercantum di dada, kegelisahan tetap membelenggu seorang penjual ikan, Zulkifli Ngah, 41, berikutan bayi dilahirkan pada jam 11 pagi pada 22 September lalu perlu menjalani pembedahan.Zulkifli berkata, dia dan isterinya, Noraini Mohamad, 31, mengetahui bakal memiliki anak kembar selepas menjalani imbasan di Hospital Kemaman enam bulan lalu, sebelum mengikuti proses sama di HSNZ dan Hospital Kuala Lumpur selepas itu.“Ketika doktor memberitahu bayi yang akan dilahirkan nanti kembar siam, kami berserah dan reda dengan ketentuan Ilahi sehinggalah bayi itu dilahirkan bercantum dada,” katanya.
Zulkifli yang menjual ikan di Kemaman berkata, walaupun doktor di HSNZ belum membuat sebarang diagnosis penuh terhadap keadaan kembar siam itu, dia sedar bayinya perlu menjalani pembedahan pada masa depan, bagi membolehkannya menjalani hidup seperti kanak-kanak normal lain.
“Seperti ibu bapa lain, saya ingin melihat kembar ini menjalani kehidupan yang sihat. Namun, saya tidak fikir mampu membayar bil perubatan dan pembedahan mereka dengan pendapatan sebagai penjual ikan,” katanya.
Beliau berkata, dugaan sebegini tidak pernah berlaku kepadanya sebelum ini apabila anak ketiga dan keempat lahir bercantum tidak normal seperti anak pertama dan keduanya yang kini berusia enam dan tujuh tahun.
“Saya terima dugaan ini sebagai takdir, tetapi saya tetap memerlukan bantuan kewangan untuk keperluan mereka pada masa depan kerana pendapatan saya sebagai penjual ikan hanya cukup bagi kehidupan sederhana kami sekeluarga,” katanya sambil berharap dapat bertukar kerja baru di bandar raya ini bagi memudahkannya berulang-alik menjaga bayi yang masih mendapat rawatan di HSNZ.
Katanya, sejak seminggu lalu dia tidak berkerja dan berdepan risiko kehabisan wang apabila sehingga kini tidak menerima sebarang bantuan untuk menyara kehidupan mereka ketika ini.
“Walaupun isteri saya hanya menjalani proses pembedahan selama sejam ketika melahirkan bayi kembar siam itu, namun saya tetap bimbang ada komplikasi lain selepas ini.
“Jadi saya benar-benar berharap ada pihak sudi membantu menghulurkan bantuan untuk masa depan bayi kembar selepas ini dan saya menyerahkan kepada kebijaksanaan doktor untuk menentukan bila masa sesuai bayi ini akan dibedah,” katanya.
Terdahulu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said melawat bayi terbabit di HSNZ.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan individu dan syarikat boleh menghubunginya di talian 012-9551435.
No comments:
Post a Comment