Wednesday 28 September 2011

Kastam rampas rokok, minuman keras bernilai RM3.19 juta



MELAKA 28 Sept. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia negeri berjaya mematahkan dua sindiket penyeludupan minuman keras dan rokok yang melibatkan barang rampasan bernilai RM3.19 juta termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan sejak empat hari lalu lalu.
Timbalan Pengarahnya, Johariah Jantan berkata, dalam serbuan pertama di Kilometer 125 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Pagoh, Johor, Sabtu lalu, pasukannya menahan sebuah lori 10 tan yang membawa 28,520 karton rokok.
Menurutnya, pemandu lori itu bagaimanapun sempat melarikan diri dengan bantuan tonto yang mengekori lori itu sebaik sahaja kenderaan kastam berjaya menahan lori terbabit.
"Semasa kami memintas lori tersebut, pemandunya sempat memberhentikan lori sebelum terjun dan menaiki sebuah kenderaan dipercayai tonto yang mengekori belakang lori terbabit.
"Pemeriksaan di dalam lori itu menemui 28,520 karton rokok pelbagai jenama yang dianggar bernilai RM555,984 dengan nilai cukai sebanyak RM2.4 juta," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, pemandu lori terbabit dipercayai anggota sindiket sama yang berjaya ditumpaskan Kastam Melaka di KM 9.2 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Tanjung Kupang, Johor, Selasa lalu.
Dalam serbuan itu, kastam berjaya merampas sebuah van yang membawa 3,000 karton rokok bernilai RM66,000 melibatkan cukai sebanyak RM306,960, bagaimanapun pemandu van terbabit sempat melarikan diri.
Dalam kes terbaru semalam, Johariah berkata, sebanyak 19,776 tin dan 277 botol minuman keras berjaya dirampas di sebuah rumah di Pasir Putih, Ipoh Sabtu lalu, yang dijadikan stor untuk menyimpan barang belum lulus kastam itu.
Menurutnya, turut ditahan dalam serbuan pukul 8.30 pagi itu ialah empat lelaki tempatan berusia 40-an serta menyita sebuah lori dan van yang digunakan untuk mengangkut minuman keras tersebut.
"Siasatan awal mendapati, kesemua tin dan botol minuman keras itu dilekatkan dengan tag setem cukai kastam dipercayai palsu untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
"Nilai barangan yang dirampas dianggarkan RM68,650 melibatkan cukai RM161,655," katanya.
Tambahnya, keempat-empat lelaki yang ditahan akan didakwa di bawah Seksyen 153(1)(d) Akta Kastam 1967.
Beliau turut meminta orang ramai memberikan kerjasama kepada pihak kastam dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan pemberian saguhati akan dipertimbangkan bagi setiap kes yang berjaya.
Tambahnya, mereka yang ingin menyalurkan maklumat boleh menghubungi Kastam Melaka di talian 06-2846190 atau talian bebas tol 1-800-88-8855.
Utusan Malaysia Online - Jenayah:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment