Wednesday, 28 September 2011

Empat warga Taiwan jadikan Malaysia pusat operasi sindiket penipuan antarabangsa ditahan

GEORGETOWN: Polis menahan empat warga Taiwan termasuk seorang wanita yang dipercayai mengetuai pusat operasi satu sindiket penipuan antarabangsa dalam satu serbuan, di sini, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK)Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata sindiket itu menjadikan beberapa negara Asia termasuk Malaysia sebagai pusat operasi untuk menipu mangsa di China dan Taiwan.
"Mereka yang berusia dalam lingkungan antara 20 dan 31 tahun itu memasuki Malaysia sebagai pelancong sebelum dipercayai menubuhkan pusat operasi terbabit pada Jun lalu.

"Dalam serbuan 12 tengah hari itu di sebuah apartmen di sini, kita turut merampas enam komputer riba, 20 telefon bimbit, 199 pen drive, 159 keping kad ATM dari China dan Taiwan serta peralatan lain," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Difahamkan, penangkapan mereka adalah susulan operasi polis Taiwan di beberapa negara Asia pada Sabtu lalu, bagi melumpuhkan sindiket yang dipercayai mengaut lebih RM2 bilion tahun lalu selain terlibat dalam lebih 200 kes penipuan tahun ini.

Katanya, susulan penangkapan itu polis menyerbu empat lagi premis termasuk tiga di sebuah plaza di Bayan Baru yang dipercayai dijadikan tempat melakukan kegiatan, selain merampas pelbagai peralatan termasuk modem dan telefon.
"Sindiket terbabit yang mempunyai rangkaian di sekitar negara Asia dan menggunakan lebih 80 pekerja dari China untuk menjalankan operasi mereka di Malaysia," katanya.

Polis kini menjejaki pekerja terbabit yang dipercayai dibawa masuk sebelum menjalani latihan khas di sebuah premis di sini bagi menjalankan penipuan tersebut.

Mengulas mengenai modus operandi sindiket, Syed Ismail berkata, pekerja terbabit akan membuat panggilan telefon kepada mangsa di China dan Taiwan dengan menyamar sebagai polis dan kakitangan bank.

"Mereka akan memaklumkan kepada mangsa bahawa akaun bank atau kad kredit mereka diceroboh pihak ketiga dan jika tidak dipindahkan ke akaun lain wang mereka akan dicuri sindiket penipuan," katanya.

Syed Azizan berkata, bagi memastikan mangsa terperangkap, sindiket turut memberikan nombor untuk dihubungi mangsa yang disambungkan dengan mesin operator elektronik seperti yang diguna polis dan bank.

"Siasatan mendapati nombor telefon yang berikan kepada mangsa mereka memang betul iaitu bank atau balai polis, bagaimanapun sindiket terbabit mempunyai kepakaran untuk memintas panggilan berkenaan.

"Mangsa yang percaya, terus memberikan maklumat bank kepada sindiket terbabit sebelum mereka (sindiket) melakukan pemindahan wang daripada akuan mangsa kepada akaun mereka," katanya.

Syed Ismail berkata, pihaknya bekerjasama dengan polis Taiwan dan China memandangkan semua mangsa adalah dari dua negara berkenaan.

"Tiada mangsa dari Malaysia kerana sindiket ini hanya menggunakan negara kita sebagai tempat operasi dan mereka (sindiket) berselindung dengan mendaftarkan perniagaan menggunakan sebuah syarikat tempatan," katanya.

Katanya, empat rakyat Taiwan terbabit ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. - BERNAMA
Berita Harian Online | Empat warga Taiwan jadikan Malaysia pusat operasi sindiket penipuan antarabangsa ditahan:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment