Wednesday 28 September 2011

Mangsa kad kredit palsu dibebaskan

HO CHI MINH, Vietnam 28 Sept. - "Perkara pertama yang akan saya lakukan sebaik sahaja memijak bumi Malaysia adalah melakukan sujud syukur," kata Normazawati Wong Abdullah, rakyat Malaysia yang dibebaskan selepas dipenjarakan hampir tujuh tahun di Penjara Ham Tan K4 di Vietnam.
Menurut ibu tunggal berusia 49 tahun itu, dia akan mencari lima anaknya dan menyatukan mereka di bawah satu bumbung.
Normazawati dijangka tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang, pukul 10 pagi esok selepas semua proses berkaitan seperti penyediaan dokumen pembebasannya diuruskan Setiausaha Agung Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Abdul Khalid Chairul di sini, hari ini.
Turut sama menyertai program membawa pulang wanita itu ialah Exco Wanita UMNO, Datuk Norhayati Onn.
Kata Normazawati, keperitan ketika berada dalam tahanan dan menjadi banduan tidak akan dilupakan sepanjang hayat dan jika boleh dia tidak mahu lagi menjejakkan kaki ke Vietnam.
Menurutnya, tempoh enam tahun 11 bulan menanggung azab sebagai banduan di Penjara Ham Tan K4 selain ditahan 17 bulan sementara menunggu perbicaraan adalah satu tempoh yang terlalu lama sehingga dia langsung tidak mahu mengingati detik itu.
Kisah hidupnya sebagai tahanan di Vietnam bermula selepas dia menerima pelawaan seorang rakan sepejabat untuk menyertai 'lawatan' ke negara itu April 2004.
Katanya, menerusi 'lawatan' itu, dia bersama tiga lelaki warga tempatan disambut oleh dua lelaki sebaik tiba di Vietnam dan dibawa ke sebuah hotel.
"Keesokannya, saya diminta oleh salah seorang daripada mereka untuk membeli barang menggunakan kad kredit milik orang lain. Saya turut diberi pasport milik individu itu tetapi dilekatkan dengan gambar saya.
"Saya enggan berbuat demikian, tetapi mereka mengugut untuk mencederakan anak serta ahli keluarga di Malaysia jika tidak mengikut arahan," katanya.
Normazawati berkata, dia cuba melarikan diri malam itu juga, tetapi bilik hotelnya dikawal oleh beberapa lelaki menyebabkannya mengambil keputusan untuk mengikut arahan individu terbabit.
Katanya, dia kemudian dibawa ke sebuah kompleks membeli-belah dan diminta membeli pelbagai barang, antaranya kamera video, kamera dan jam tangan yang tidak diketahui jumlahnya menggunakan kad kredit itu sambil diekori oleh seorang lelaki.
"Sehari sebelum saya sepatutnya pulang, mereka juga minta saya mengeluarkan wang tunai kira-kira AS$5,000 (RM15,000) dan melakukan 'tugas' terakhir untuk membeli barang di kompleks yang sama.
"Saya melakukan perkara itu, tetapi kali ini ditahan oleh pengawal keselamatan sebelum sempat menaiki teksi. Lelaki yang menyuruh saya melakukan perkara itu melarikan diri. Saya cuba meminta pertolongan di sebuah bank, tetapi pengurusnya tidak dapat membantu dan saya diserahkan kepada polis," ujarnya.
Dua bulan selepas itu katanya, dia dihadapkan ke mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun atas dakwaan menggunakan kad kredit palsu.
Dia yang sepatutnya dibebaskan Februari lalu terpaksa menanti lebih lama kerana perlu membayar denda VND373,965,810 (RM60,208.50) atas kesalahan itu.
Bagaimanapun, dengan bantuan Kelab Putera 1Malaysia, wang tersebut berjaya dikumpulkan dan diserahkan kepada Konsul Muda Malaysia di Vietnam, Nor Azme Salleh pada Jumaat lalu.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment