Wednesday 28 September 2011

5 judi di kafe siber ke mahkamah



Oleh Norhayati Umor
bhnews@bharian.com.my
2011/09/29

Kumpulan pertama diheret ke muka pengadilan bukti polis komited 

GEORGETOWN: Lima lelaki yang ditahan ketika berjudi di tiga kafe siber di Desa Baiduri, Air Itam di sini, semalam menjadi kumpulan pertama bakal diheret ke mahkamah kerana kesalahan itu di Pulau Pinang.
Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas kelima-lima lelaki berusia 20-an sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) secepat mungkin.
“Siasatan ke atas pemain judi akan disegerakan sebelum kita rujuk kepada DPP untuk cadangan menuduh mereka di mahkamah sebagai kes contoh. Ini menunjukkan polis komited dengan apa yang dicadangkan, bukan hanya cakap kosong,” katanya selepas merasmikan Seminar Anti Pemerdagangan dan Penyeludupan Pekerja Asing di Hotel Eastin, di sini, semalam. 

Ahad lalu, Ayub mengumumkan polis Pulau Pinang akan mengheret pemain judi di kafe siber ke muka pengadilan kerana polis memang mempunyai kuasa untuk mendakwa pemain judi mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Perjudian 1953. 

Bagaimanapun, sebelum ini pemain judi dibebaskan selepas keterangan diambil memandangkan mereka diperlukan sebagai saksi. 

Dalam serbuan itu, polis turut menahan tiga penjaga premis berkenaan serta merampas pelbagai peralatan yang digunakan termasuk modem, buku catatan dan 29 set komputer. 
Sementara itu, Ayub berkata, sehingga bulan ini, sebanyak sembilan kes membabitkan penyeludupan manusia dan pekerja asing bagi dikesan di Pulau Pinang. 

Jumlah itu berkurangan berbanding tahun sebelumnya iaitu satu kes pada 2008, 16 kes pada 2009 dan sembilan kes pada tahun lalu.

No comments:

Post a Comment