Wednesday 28 September 2011

Tiada kelonggaran lulus tauliah ceramah

SHAH ALAM 28 Sept. - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak akan sewenang-wenangnya mengeluarkan tauliah kepada individu yang ingin mengajar dan menyampaikan tazkirah atau ceramah di seluruh masjid dan surau di negeri ini.
Pengarahnya, Marzuki Hussin menegaskan, ketetapan yang diterima pakai oleh JAIS itu selaras dengan peruntukan undang-undang Islam di negeri ini, termasuk arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin selaku Ketua Agama Islam Negeri.
Bagaimanapun beliau menyatakan, pihaknya mengamalkan dasar terbuka untuk menerima pandangan semua pihak berhubung perkara itu termasuk perbincangan yang ingin diadakan oleh parti politik dengan JAIS.
"Namun, ia tidak bermakna JAIS sedia memberi kelonggaran dalam meluluskan mana-mana permohonan tauliah yang dikemukakan kepada pihak berkuasa agama itu.
"Semua pihak termasuk pemimpin parti politik yang ingin mendapatkan tauliah ceramah boleh memohon tetapi jawatankuasa tauliah akan membuat keputusan berdasarkan prosedur dan peraturan sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran JAIS, Lembaga Zakat Selangor, MAIS dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (Jakess) di sini, hari ini.
Beliau mengulas hasrat Pas Selangor sebelum ini untuk mengadakan pertemuan dengan JAIS bagi mendapatkan penjelasan berhubung arahan MAIS mengenai larangan terhadap ahli politik yang tidak mempunyai tauliah untuk mengadakan ceramah agama di masjid dan surau di negeri ini.
Menurut Marzuki, pengeluaran tauliah mengajar kepada pihak tertentu perlu melalui proses temuduga selain pertimbangan daripada jawatankuasa tauliah.
"Sekiranya jawatankuasa itu berpuas hati dan memberi sokongan, maka tidak ada masalah mendapatkan tauliah," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, JAIS telah mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Selangor, Dr. Abdul Rani Osman dan Timbalan Pesuruhjaya Pas III negeri, Khalid Abdul Samad semalam.
"Semalam kita ada jumpa Pas Selangor untuk berbincang. Mengenai tauliah penceramah dalam kalangan ahli politik parti, mereka boleh memohon namun apa-apa keputusan terpulang kepada jawatankuasa tauliah berdasarkan arahan dan peraturan sedia ada," ujarnya.
Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri:

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment