Wednesday, 28 September 2011

Penyamun minta maaf rompak RM30,000

AMPANG: Seorang penyamun sempat meminta maaf dengan memberi alasan terdesak dan terpaksa melakukan jenayah itu ketika memecah masuk sebuah rumah di Taman Lembah Keramat, di sini sebelum melarikan barangan berharga bernilai hampir RM30,000, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, enam lelaki memakai topi keledar memecah masuk kediaman itu yang ketika itu dikunjungi empat rakan mangsa yang datang berbincang untuk mencari pembantu rumah.

Malah, mereka semua termasuk dua wanita hanya mampu berdiam diri apabila kumpulan lelaki itu mengacukan parang dan mengugut supaya tidak melawan jika tidak mahu dicederakan.

Menurut sumber, kejadian itu berlaku terlalu pantas dan mereka tidak sempat berbuat apa-apa dan hanya mampu merayu supaya tidak dicederakan.

“Suspek kemudian mengarahkan mereka menyerahkan barangan berharga.

“Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa menyerahkan barangan kemas yang dipakai, telefon bimbit, jam tangan berjenama dan wang tunai kepada suspek,” katanya.


Sumber berkata, mangsa gagal mengecam suspek kerana mereka memakai topi keledar berpenutup penuh dan mengambil kesempatan menceroboh kediaman itu apabila mendapati pintu rumah tidak berkunci.

“Malah semua suspek hanya mengambil barangan berharga yang ada bersama mangsa sebelum melarikan diri tanpa menggeledah rumah itu.

“Namun, salah seorang suspek sempat memohon maaf kerana terpaksa menyamun sebelum melarikan diri tanpa mencederakan mangsa,” katanya.

Sebaik sahaja selamat daripada ancaman suspek, semua mangsa yang bimbang kejadian itu berulang membuat laporan ke Balai Polis Taman Melawati.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (KK).

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihaknya sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment