JOHOR BAHRU 28 Sept. - Empat tonto yang semakin naik tocang cuba menunjukkan belang mereka apabila menghalang dua anggota polis daripada menahan lori dan treler yang membawa muatan tanah berlebihan di Jalan Skudai, semalam.
Mereka yang berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun itu menghampiri anggota polis berkenaan dan tidak membenarkan mereka membawa lori-lori yang ditahan untuk ditimbang di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Taman Daya.
Bagaimanapun, tindakan itu hanya menjerat diri mereka apabila kesemua tonto itu ditahan oleh anggota polis dari Unit Khas Trafik Bukit Aman dan terpaksa meringkuk dalam lokap selama seminggu sepanjang tempoh reman.
Dalam operasi yang dilakukan pada pukul 10 pagi itu, sebanyak 20 lori dan treler yang membawa muatan tanah, pasir dan batu berlebihan ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
Ketua Operasi Unit Khas Trafik Cawangan Bukit Aman, Asisten Supritendan Khuzir Abd. Majit berkata, polis menahan keempat-empat lelaki berkenaan serta membuat laporan di Balai Polis Skudai.
"Tonto di sekitar kawasan operasi juga dilihat begitu agresif sehingga berani mengekori kereta peronda sebagai usaha untuk menghalang penguat kuasa menahan lori membawa muatan berlebihan.
"Tetapi dengan perancangan yang teliti dan risikan yang dilakukan, sebanyak 20 lori dan treler yang sering menghantui pengguna jalan raya berjaya ditahan dan disita.
"Bagi tonto yang mengganggu operasi tersebut, mereka akan direman selama seminggu mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Operasi itu turut dibantu oleh JPJ Putrajaya dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Wilayah Selatan.
Beliau menambah, operasi tersebut dilakukan selepas pihaknya mendapat aduan orang ramai yang tertekan dengan kehadiran lori tanah membawa muatan berlebihan sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
No comments:
Post a Comment