LONDON: Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dipercayai bersembunyi berhampiran bandar Ghadamis dekat dengan sempadan Algeria.
Seorang pegawai kanan Libya berkata, Gaddafi dilindungi suku kaum Touareg di bandar yang terletak di barat negara itu.
“Suku kaum Touareg masih menyokongnya dan beliau dipercayai berada di kawasan Ghadamis,” kata Hisham Buhagiar, pemimpin kanan tentera rejim baru Libya, menerusi telefon.
Hisham yang menjadi penyelaras gerakan memburu Gaddafi berkata, bekas pemimpin Libya terbabit dipercayai berada di Samnu di selatan negara itu minggu lalu sebelum dibawa ke Ghadamis, kira-kira 550 kilometer ke barat daya Tripoli.
Menurutnya, anak Gaddafi, Seif al-Islam berada di Bani Walid sementara seorang lagi, Muttasem, di Sirte, bandar asal keluarga itu.
“Kedua-dua anak Gaddafi itu merancang meninggalkan Libya, mungkin ke Niger,” kata Hisham.
Sirte, antara kubu terakhir penyokong Gaddafi kini dikepung oleh tentera Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) dan menjadi sasaran serangan udara pesawat Nato.
Kejayaan menawan Sirte, 450 kilometer ke timur Tripoli akan membawa NTC lebih dekat kepada penguasaan seluruh negara itu, matlamat yang gagal dicapai walaupun selepas menguasai Tripoli lebih sebulan lalu.
Menurut Hisham, kebanyakan suku kaum di selatan Libya menentang Gaddafi kecuali Touareg, yang masih setia menyokongnya.
Pertempuran meletus antara suku kaum itu dengan penduduk Arab yang tinggal di selatan.
Anak perempuan Gaddafi, Asiha, adiknya, Hannibal dan Mohammed, ibu mereka, Safia dan beberapa anggota lain melarikan diri ke Algeria Ogos lalu dan sejak itu menetap di sana. - Reuters
No comments:
Post a Comment