Wednesday 28 September 2011

Kes ragut makin berleluasa



PUCHONG – Kira-kira 160 keluarga di Kampung Bistari di sini dilanda kebimbangan berikutan peningkatan kes jenayah ragut, samun dan pecah rumah yang dikatakan berleluasa di kawasan itu sejak beberapa bulan lalu.

Terbaru, seorang wanita hampir diragut selepas diekori dua lelaki bermotosikal kira-kira lima kilometer dari rumahnya ke Bandar Puteri selepas kedua-dua penjenayah gagal merampas beg tangan dibawanya.

Mangsa, Keyu Kim Lan, 50, berkata, ketika kejadian dia baru keluar rumah untuk membawa cucunya ke sebuah klinik di Bandar Puteri.

Menurutnya, lelaki yang gagal meragut beg tangannya kemudian mengekori kereta dipandu suaminya dari belakang sehingga sampai ke tempat dituju.

“Lelaki terbabit membaling beberapa batu ke bahagian belakang kereta menyebabkan suami memandu kereta terus ke balai polis dan mereka melarikan diri.

“Kejadian menyebabkan saya trauma sehingga kini,” katanya ketika mengadukan perkara itu kepada Pegawai Khas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Loo Yeng Peng, di sini, semalam.

Seorang lagi mangsa, Hiew Kong Min, 55, berkata, dia sudah dua kali diragut berdekatan kawasan kampung berkenaan dan kejadian turut berlaku kepada anak perempuannya.

“Penyamun itu meletakkan parang di atas kepala menyebabkan saya terpaksa membiarkan sahaja dia merentap rantai emas yang dipakai.

“Kali kedua saya diragut oleh lelaki yang konon-konon memberi bantuan ketika saya terjatuh dari motosikal akibat dilanggar sebuah kereta beberapa bulan lalu,” katanya.

S Mariyai, 55, yang turut menjadi mangsa penjenayah di kawasan kampung itu berkata, rumahnya dipecah masuk empat lelaki bersenjatakan parang dua minggu lalu.

“Ketika kejadian suami dan anak saya mahu keluar bekerja tetapi mereka dirempuh empat lelaki yang terus masuk ke dalam rumah. Tidak cukup dengan mengambil kereta, wang tunai dan sebuah televisyen, mereka turut menetak kepala suami dan tangan anak saya,” katanya.

Sementara itu Yeng Peng berkata, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk kampung berkenaan berhubung kes jenayah yang meningkat di kawasan itu.

Menurutnya, beliau sudah berbincang dengan polis dan pihak berkuasa itu berjanji akan mengambil beberapa langkah pencegahan untuk mengurangkan kadar jenayah.

“Polis berjanji akan menambahkan anggota polis bermotosikal, mempergiatkan rondaan anggota berpakaian preman dan menempatkan anggota sektor yang menumpukan sesuatu kawasan.

“Cuma apa yang diharapkan adalah, mangsa jenayah dapat membuat laporan kerana jika tidak pihak berkuasa keselamatan itu tidak akan mengetahui statistik dan jenis jenayah yang sering berlaku itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menafikan penjenayah kini sudah tidak menumpukan kegiatan di kawasan bank, premis perniagaan kerana sudah beralih ke kawasan kampung dan perumahan.

“Oleh kerana anggota polis sudah ramai dapat dilihat di kawasan ini, mereka mula beralih arah melakukan jenayah di tempat lain.

“Kalau boleh, dalam masa terdekat, kita mahu kawasan ini ditubuhkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS),” katanya.

No comments:

Post a Comment