Wednesday 28 September 2011

Suami, isteri maut kena tetak





2011/09/29

HULU SELANGOR: Sepasang suami isteri ditemui mati dengan kesan tetakan di kepala dan tangan dipercayai dibunuh di sebuah kebun getah, Batu 30, Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, Hulu Yam di sini, awal pagi semalam. 

Mayat kedua-dua mangsa, L Ramasandram, 57 dan A Bakiam, 51, ditemui dalam keadaan terlentang di atas jalan tanah merah pada jam 6 pagi. Ramasandram cedera teruk di kepala dan kelima-lima jari tangan kanan putus, manakala Bakiam hampir putus pergelangan tangan selain turut ditetak di kepala.
Pasangan terbabit yang bekerja sebagai penoreh getah dikatakan keluar rumah seawal jam 5 pagi untuk menoreh getah di kebun terbabit yang terletak dua kilometer dari rumah mereka.
Mayat pasangan itu ditemui seorang lagi penoreh getah di kebun sama dan menghubungi adik mangsa, sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis. 

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi, berkata mangsa mati akibat ditetak dengan objek tajam di kepala dan tangan. 

“Pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang senjata yang digunakan suspek dan pemeriksaan polis hanya menemui sebuah motosikal yang dipercayai milik mangsa. 

“Punca kejadian masih dalam siasatan dan tiada tanda mangsa dirompak kerana barang berharga seperti telefon bimbit milik mereka tidak hilang. 
“Bagaimanapun, polis akan menyiasat semua aspek bagi mengenal pasti punca kejadian dan akan mengambil keterangan ahli keluarga mangsa,” katanya, semalam. 

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarganya, semalam. 

Norel Azmi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dan polis meminta sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil menyalurkan sebarang maklumat dengan menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

No comments:

Post a Comment