Wednesday, 28 September 2011

2 suspek samun pengurup masih diburu

KUALA LUMPUR: Siasatan polis terhadap tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan kerana dipercayai terbabit kes samun seorang pengurup wang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 September lalu sudah lengkap.
Difahamkan, ketiga-tiga mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang, hari ini. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner, Mohd Adnan Abdullah, ketika mengesahkan perkara itu berkata, setakat ini siasatan ke atas ketiga-tiga suspek sudah selesai dan kertas siasatan dihantar kepada pihak pendakwa raya bagi melakukan pendakwaan terhadap mereka. Menurutnya, walaupun siasatan kes tiga pegawai SPRM itu dianggap selesai, pihaknya masih memburu dua suspek lelaki yang masih bebas.

“Setakat ini kami sudah selesai menyiasat ketiga-tiga pegawai berkenaan, cuma polis masih mengesan dua lelaki yang dipercayai terbabit kes samun ini bagi membolehkan kami menjalankan siasatan lebih mendalam. “Siasatan masih terbuka dalam semua aspek termasuk terhadap pengurup wang yang disamun dan setakat ini, polis tidak menjurus kepada siasatan sama ada penggurup itu terbabit dalam kegiatan mengubah wang haram,” katanya di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment