PULAU PINANG 28 Sept. - Kerjasama erat polis tiga negara iaitu Malaysia, Taiwan dan China membuahkan hasil apabila satu sindiket penipuan antarabangsa digelar 'Macau Scam' yang mengaut keuntungan berbilion ringgit berjaya ditumpaskan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, serbuan polis di dua lokasi berbeza melibatkan sebuah kondominium dan sebuah premis perniagaan di sini semalam, berjaya membongkar kegiatan haram itu.
Menurutnya, hasil serbuan di kondominium itu tengah malam semalam membawa kepada penahanan empat warga Taiwan iaitu tiga lelaki dan seorang wanita yang berusia di antara 20 hingga 31 tahun.
Katanya, turut dirampas adalah enam komputer riba, 20 telefon bimbit, 199 peranti storan media (pendrive), 159 kad mesin juruwang automatik (ATM) dari beberapa bank di China.
Jelasnya, serbuan kedua di sebuah premis perniagaan di Bayan Baru dilakukan pukul 1.15 petang hari yang sama tanpa sebarang tangkapan kecuali penemuan alat kelengkapan telekomunikasi.
"Premis perniagaan tersebut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan tidak mempunyai sebarang papan tanda. Kondominium tersebut pula dipercayai dijadikan sebagai tempat latihan bagi kakitangan baru.
"Lot kedai itu yang disewa merupakan pusat operasi sindiket berkenaan. Sindiket di negeri ini dipercayai beroperasi sejak Jun lalu. Mereka juga mempunyai pusat operasi di Kangar, Perlis dan Kota Kinabalu, Sabah dengan tenaga kerja tidak kurang 80 orang.
"Kita percaya di ketiga-tiga negeri ini mereka ada kaitan antara satu sama lain," katanya di sini, hari ini.
Syed Ismail memberitahu, Malaysia dijadikan transit untuk kegiatan penipuan itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Jelasnya, sindiket yang didalangi individu warganegara Taiwan itu berjaya mengaut keuntungan kira-kira RM2 bilion sepanjang tahun lalu yang menyasarkan warga China yang dihubungi dari negara ini.
"Modus operandi mereka adalah dengan menggunakan warga China sebagai petugas yang akan membuat panggilan palsu kepada mangsa di republik itu.
"Mereka menyamar sebagai wakil jabatan penguatkuasa atau pegawai bank dari China dan mengarahkan mangsa membuat panggilan ke agensi kerajaan atau bank tempatan dengan alasan tertentu.
"Nombor telefon yang diberikan itu adalah nombor sebenar agensi atau bank berkenaan, namun panggilan yang dibuat mangsa kemudiannya dipintas dan dijawab petugas sindiket sendiri.
"Sindiket akan memperdaya mangsa dengan menyuruhnya memasukkan sejumlah wang ke akaun yang diberikan. Mereka sangat bijak memberi alasan sehingga mangsa tertipu dan menuruti semua arahan yang diberi petugas sindiket," ujarnya.
Katanya, polis sedang memburu kesemua petugas sindiket yang masih bebas dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment