Wednesday, 28 September 2011

Warga emas maut dirempuh



RHU RENDANG – Gara-gara menunggang motosikal tidak mengikut undang-undang jalan raya, seorang warga emas terbunuh selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kenderaan di persimpangan lampu isyarat Kampung Rhu Rendang di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Shamsuddin Abdullah, 72, yang menaiki motosikal jenis Honda dipercayai menunggang motosikal melawan arus dari arah Dungun ke Kuala Terengganu sebelum terlibat dalam nahas kemalangan itu.

Difahamkan setiba di persimpangan lampu isyarat itu, mangsa yang dipercayai terkeliru dengan petunjuk lampu isyarat kemudiannya membelok ke kiri jalan menuju ke Kampung Bukit Kor sebelum dirempuh sebuah kereta Proton Saga Aeroback.

Pemandu kereta terbabit yang dalam perjalanan dari arah Dungun menuju ke Kuala Terengganu dikatakan gagal mengelak mangsa yang tiba-tiba berada di tengah jalan lalu merempuh mangsa dan terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan.

Berikutan kejadian itu, mangsa yang dalam perjalanan untuk membuang sisa makanan ke tempat pembuangan sampah di seberang jalan itu cedera parah, manakala pemandu kereta Proton Saga Aeroback berusia 29 tahun tidak cedera.

Warga emas yang juga dipercayai seorang peniaga itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, namun disahkan meninggal dunia selepas mendapat rawatan lebih kurang jam 6.30 pagi, semalam.

Ketua Polis daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya, ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu berkata, mangsa disahkan meninggal dunia pagi, semalam.

No comments:

Post a Comment