Monday 3 October 2011

Krisis kemanusiaan makin buruk di Sirte

SIRTE (Libya): Penduduk yang cedera dalam peperangan di bandar ini dilapor mati di atas katil bedah kerana hospital kehabisan minyak untuk menjalankan generator dan tindakan petugas perubatan melarikan diri dari bandar itu.
Bandar kelahiran Muammar Gaddafi itu adalah satu daripada dua bandar yang masih dikuasai penyokongnya.

Pertempuran masuk minggu ketiga dan orang awam terperangkap dalam krisis kemanusiaan yang semakin buruk.

Kerajaan sementara, Majlis Peralihan Kebangsaan, semalam mengisytiharkan gencatan senjata dua hari bagi membenarkan orang awam melarikan diri.

Bagaimanapun, penduduk yang melarikan diri dari bandar itu semalam berkata, mereka tidak tahu menahu mengenai gencatan senjata dan tembak menembak masih berterusan.

“Doktor memulakan penbedahan tetapi tidak lama kemudian bekalan elektrik terputus. Mereka hanya mempunyai beberapa liter minyak untuk generator,” kata Al-Sadiq yang mendakwa dia menguruskan unit dialisis di hospital utama Sirte.


“Saya melihat sendiri seorang budak berusia 14 tahun mati di atas meja bedah disebabkan bekalan elektrik terputus ketika pembedahan,” katanya.

Petugas Persatuan Palang Merah yang membawa bekalan ubat-ubatan ke Sirte Sabtu lalu gagal menjejaki hospital berkenaan kerana tembak-menembak berterusan.

Hospital itu kini menjadi tumpuan kebimbangan mengenai krisis kemanusiaan di bandar berkenaan. - Reuters

No comments:

Post a Comment