Monday 3 October 2011

Pembangkang utama Syria tolak campur tangan asing




Pasukan penyelamat memeriksa gerabak kereta api yang tergelincir dekat bandar Ubin, wilayah Idlib, Syria, semalam. Nahas itu didakwa oleh kerajaan Syria sebagai tindakan 'kumpulan pengganas bersenjata'. - AFP


DAMSYIK 3 Okt. - Kumpulan pembangkang utama Syria, semalam menolak campur tangan asing di negara ini, tetapi menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan untuk melindungi rakyat negara ini yang berhadapan dengan tindakan kekerasan daripada rejim Presiden Bashar al-Assad.
Kenyataan yang dikeluarkan di Istanbul bagi pihak Majlis Kebangsaan yang baru di bentuk itu berkata, campur tangan asing 'menjejaskan kedaulatan Syria'.
Menurut kenyataan itu, masyarakat antarabangsa mempunyai tanggungjawab kemanusiaan untuk melindungi rakyat negara ini.
Majlis itu menuntut kerajaan dan pertubuhan antarabangsa menunaikan tanggungjawab mereka untuk menghentikan jenayah serta pelanggaran hak asasi manusia yang dilakukan oleh rejim Assad.
Deklarasi dan sokongan terhadap Majlis Kebangsaan ini adalah penting untuk menunjukkan perpaduan pembangkang Syria, selepas enam bulan tunjuk perasaan secara aman dibalas dengan tindakan kekerasan oleh rejim Assad.
Sementara itu, tentera kerajaan setakat ini berjaya mematahkan pemberontakan bersenjata, kebanyakannya di tengah wilayah Homs dan barat laut wilayah Idlib berhampiran Turki.
Agensi berita Syria melaporkan, tentera kerajaan berjaya menawan semula tengah bandar Rastan, dan menafikan keganasan semakin meningkat di negara ini.
Menurut kenyataan Majlis Kebangsaan itu, kebangkitan rakyat terus diadakan secara aman tetapi tentera tetap melancarkan serangan ke atas beberapa bandar dan perkampungan di negara ini.
Menurutnya, penindasan dan penahanan besar-besaran yang dibuat oleh tentera kerajaan membawa Syria ke kancah perang saudara dan campur tangan asing.
Ikhwan Muslimin yang menyertai Deklarasi Damsyik dan membariskan tokoh-tokoh utama pembangkang serta aktivis tempatan dilaporkan turut menyertai Majlis Kebangsaan itu. - REUTERS

No comments:

Post a Comment