Monday 3 October 2011

MILF: Keganasan boleh meletus semula jika rundingan tergendala




Murad Ebrahim (tengah) diiringi tentera MILF di kem pertubuhan itu di Darapan, Sultan Kudarat di Mindanao, pada 5 September lalu. - AFP


SULTAN KUDARAT 3 Okt. - Para pemimpin Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) memberi amaran rundingan damai yang kerap tergendala untuk menamatkan pemberontakan di selatan Filipina boleh menjadi 'sia-sia' dan menyebabkan keganasan meletus semula.
Selepas pertemuan bersejarah dengan Presiden Filipina, Benigno Aquino pada Ogos lalu, Pengerusi MILF, Murad Ebrahim melahirkan harapan rundingan damai dipercepatkan dan perjanjian muktamad dicapai tidak lama lagi.
Namun, rundingan itu tergendala tidak lama kemudian apabila kerajaan menawarkan pelan damai yang disifatkan oleh Murad sebagai 'langkah sia-sia' yang boleh mencetuskan semula konflik yang telah meragut kira-kira 150,000 nyawa.
"Timbul tanggapan pendirian antara kedua-dua pihak umpama langit dan bumi," kata Murad kepada wartawan di markas MILF, Kem Darapanan di selatan Filipina, baru-baru ini.
Katanya, rundingan langsung tidak akan diadakan antara panel perunding damai kedua-dua pihak sehingga kerajaan mengemukakan pelan damai yang lebih realistik dan boleh dilaksanakan, katanya, tetapi tuntutan tersebut sudah ditolak oleh Manila.
Kebuntuan itu ialah tamparan terbaru kepada rundingan damai selama 10 tahun yang dilihat oleh beberapa pemerhati sekali lagi akan menemui kegagalan kerana kerajaan Filipina tidak akan dapat memenuhi tuntutan utama MILF untuk mendirikan sebuah negeri berautonomi bagi penduduk Islam di selatan negara ini.
Penduduk Islam yang dikenali sebagai Bangsamoro kini menjadi minoriti di Pulau Mindanao tetapi menuntut untuk dibenarkan memerintah wilayah selatan dan menguasai kekayaan sumber aslinya.
"Kami merasakan kami dijajah," ujar Murad.
Beliau yang berusia awal 60-an dan pemimpin MILF lain yang seangkatan dengannya berkata, mereka kini dalam keadaan terdesak untuk menandatangani perjanjian damai sebelum terpaksa memberi laluan kepada generasi lebih muda yang berpotensi menjadi jauh lebih militan.
"Kita perlu menyediakan penyelesaian politik yang boleh dimajukan supaya generasi akan datang sentiasa akur dengan proses damai.
"Generasi muda boleh menjadi lebih cenderung kepada kekerasan kerana kebanyakan mereka dilahirkan semasa perang," kata Murad, yang fasih berbahasa Inggeris dan pernah menuntut di sebuah universiti Roman Katolik sebelum menyertai MILF. - AFP

No comments:

Post a Comment