Monday, 3 October 2011

‘Superman’ ditahan polis



KLANG SELATAN - Tindakan tiga remaja menunjukkan aksi ‘superman’ sebagai aktiviti malam minggu tidak berpanjangan apabila mereka berjaya dikepung dan ditahan sekumpulan anggota Penguat kuasa Trafik menerusi Operasi Cegah Samseng Jalanan berhampiran Kompleks Sukan Pandamaran, Persiaran Raja Muda Musa, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Operasi merangkap Penguat kuasa Trafik Klang Selatan, Cif Inspektor Zulkefli Hashim berkata, pihaknya bersama lapan anggota Penguat kuasa berpakaian preman memerhati dari jauh sebelum bertindak mengepung dan menahan remaja terbabit.

“Tiga remaja berusia 16 hingga 19 tahun itu berjaya ditahan kira-kira jam 3.15 pagi ketika mereka sedang berhenti di lampu isyarat Kampung Raja Uda untuk meneruskan aksi seterusnya.

“Salah seorang remaja masih belajar dalam tingkatan empat manakala dua lagi bekerja di sebuah kilang roti.

“Ketiga-tiga remaja ini ditahan di bawah Seksyen 42 APJ 1987 atas kesalahan memandu secara melulu yang boleh membahayakan nyawanya dan pengguna jalan lain,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi sama, seorang lelaki India berusia 20-an turut ditahan atas kesalahan mabuk.

“Selepas menjalani pemeriksaan, didapati paras alkoholnya 162/100 mililiter melebihi had yang dibenarkan.

“Ia menjadi satu kesalahan kerana boleh mendatangkan kemudaratan kepada dirinya sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain.

“Oleh itu, beliau dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45 (C) APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

Katanya, keempat-empat pesalah ini akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang pada Khamis ini.

:Beliau berkata, keseluruhan operasi bermula jam 1 hingga 5 pagi itu berjaya menahan tujuh lagi motosikal bersama penunggangnya yang melakukan pelbagai kesalahan antaranya ubahsuai motosikal daripada struktur asal.

“Semua tujuh remaja berusia 20-an itu dikatakan mempunyai hubungan persaudaraan antara satu sama lain dan berasal dari Jugra, Banting.

“Mereka sanggup turun ke daerah ini semata-mata untuk melakukan kegiatan tidak bermoral ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Dalam pada itu, Zulkefli berkata, dalam operasi itu juga 35 saman dikeluarkan ke atas pesalah trafik kerana tiada lesen memandu dan ubahsuai kenderaan.

Katanya, pihaknya akan meneruskan operasi sedemikian setiap malam minggu selain pemantauan berterusan pada hari-hari biasa dalam usaha mencegah kegiatan samseng jalanan yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

No comments:

Post a Comment