Kejadian ribut kira-kira jam 5 petang minggu lalu, menyebabkan bumbung bahagian dapur kediaman Esah Awang, 66, diterbangkan angin.
Menurut Esah, kejadian itu berlaku ketika dia hendak menunaikan solat Asar di rumahnya.
“Kejadian ini tidak pernah berlaku sebelum ini, ketika ribut tahun lalu rumah saya terlepas.
“Dalam kejadian minggu lalu ALLAH SWT hendak menguji kami sekeluarga apabila hanya rumah saya sahaja dilanda ribut,” katanya semalam.
Dia berkata, ketika kejadian semua anak dan cucunya berada di bahagian ruang tamu dan terkejut apabila ribut melanda.
Namun, dia bersyukur kerana kejadian itu tidak melibatkan kemalangan terhadap anak dan cucunya.
“Alhamdulillah saya bersyukur kerana tiada ahli keluarga kami tercedera akibat kejadian ini.
“Selepas kejadian itu, saya terus meminta pertolongan Pengerusi JKKKP Beris Lalang, Che Hamid Che Deraman untuk membetulkan bumbung rumah dan dia datang keesokan harinya bersama beberapa penduduk lain untuk membantu membaiki bumbung rumah.
“Saya ucapkan terima kasih kepada beliau kerana kami tidak perlu menunggu lama untuk membetulkan kerosakan.
“Tambahan pula keadaan cuaca tidak menentu akhir-akhir ini,” katanya.
Esah tinggal bersama tiga anak sudah berumah tangga dan lapan cucu.
No comments:
Post a Comment