Monday, 3 October 2011

Remaja campak bayi baru dilahir dari flat





Seorang anggota polis menjalankan siasatan di tempat bayi baru lahir dicampakkan ibunya ke dalam longkang di Flat Taman Segar, Selayang, semalam.


KUALA LUMPUR 3 Okt. - Tiada perkataan dapat diungkapkan melainkan sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila seorang remaja perempuan tergamak mencampakkan bayi baru dilahirkannya dari tingkat dua sebuah flat di sini.
Mayat bayi yang lengkap sifatnya itu kemudian ditemui oleh orang awam di dalam longkang di Flat Taman Segar, Selayang, di sini hari ini.
Ketika ditemui pukul 7 pagi, mayat bayi itu dalam keadaan tertiarap.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, bertindak atas maklumat, polis menahan remaja perempuan itu yang berusia 19 tahun di rumahnya di tingkat dua di flat itu.
Katanya, remaja yang bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran di Bandar Baru Selayang, mengaku melahirkan bayi itu di dalam tandas rumah yang dijadikan asrama pekerja, pukul 4 pagi ini.
"Remaja itu mengaku yang bayinya tersebut sudah tidak bernyawa selepas dilahirkan lalu membuangnya ke dalam longkang.
"Tiada siapa mengetahui meskipun rumah tersebut turut didiami lapan lagi pekerja restoran termasuk empat pekerja Indonesia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Penduduk, Zarizan Shahari, 27, memberitahu, dia menemui bayi malang itu setelah diminta oleh seorang penduduk lain untuk memeriksa sebuah objek yang mencurigakan di dalam longkang.
"Ketika itu saya baru pulang dari kampung di Jengka, Pahang. Alangkah terkejutnya apabila saya dapati ia adalah mayat seorang bayi yang masih bertali pusat.
"Saya terus menghubungi talian 999, sebelum pihak polis datang memeriksa dan mengambil bayi berkenaan.
"Saya difahamkan, rakan mangsa tidak tahu kejadian itu dan hanya menyedarinya apabila melihat tilam dipenuhi dengan kesan darah," ujarnya yang memberitahu remaja berkenaan baru sahaja berpindah ke flat itu dua bulan lalu.

No comments:

Post a Comment