Monday 3 October 2011

Pengawal keselamatan dituduh miliki heroin



KOTA BHARU – Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana dituduh memiliki dadah jenis heroin dalam satu tangkapan di Badang di sini, Jumaat lalu.

Mohd Hadiman Bassari, 36 dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan yang dihadapinya, tertuduh didakwa memiliki 0.10 gram (G) heroin di dalam kawasan semak di Kampung Banggol Badang di sini, pada jam 12.10 tengah hari, 29 September lalu.

Pada prosiding semalam, tertuduh di hadapan Majistret Nur Zakiyah Shamsudin mengaku bersalah pada pertuduhan itu.

Nur Zakiyah bagaimanapun menangguhkan kes kepada 22 November depan untuk pengemukaan laporan kimia tertuduh. Sementara itu tertuduh dibenarkan diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Dalam pada itu, seorang penganggur tidak mengaku bersalah mengikut Seksyen 6 ADB 1952 kerana memiliki 3.3 G kanabis di sebuah rumah di Kampung Binjai Kedai Mulong, jam 6.30 petang, tarikh sama.

Mohd Nasrulsani Abdullah, 30 turut berdepan tuduhan menagih dadah THC dan kedua-dua tuduhan itu akan disebut semula 22 November depan. Kedua-dua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabilah Nizam.

No comments:

Post a Comment