Monday, 3 October 2011

Sering pindah kerana miskin



BALING - Sebuah keluarga di Kampung Merubi terpaksa hidup berpindah randah berikutan gagal menjelaskan sewa bulanan sehinggalah mendapat belas ihsan dari penduduk Kampung Teluk Petata yang sudi menumpangkan keluarga berkenaan di rumahnya.

Mohd Zulkifli Abdul Latif, 35, yang hanya bekerja kampung tidak dapat menanggung kos sewa rumah didiaminya.

“Dah tiga kali saya pindah, saya faham, siapa yang nak bagi sewa pada orang yang tak mampu bayar.

“Saya pun tak marah kepada penyewa yang ingin kami keluar. Nasib baik ada Pak Lang (pemilik rumah sekarang) yang sudi menumpangkan kami di rumahnya,” katanya.

Mohd Zulkifili yang mempunyai lima cahaya mata berkata, setakat ini, hanya 3 orang anaknya sudah memulakan alam persekolahan.

“Lagi dua orang masih kecil, namun, kadang-kadang, anak saya tidak dapat ke sekolah berikutan masalah pengangkutan,” katanya.

Sementara itu, Adun Bayu, Azmi Che Hussin berkata, masalah yang menimpa keluarga Mohd Zulkifli seharusnya mendapat perhatian banyak pihak.

“Menurut sumber sekolah. anaknya Shafiq, 11, terpaksa ke sekolah berjalan kaki dari rumahnya ke Sekolah Kebangsaan Iboi berikutan masalah pengangkutan.

“Disebabkan itu, saya hadir ke sini untuk mendapatkan penjelasan dari keluarga Shafiq mengenai masalah ini,” katanya.

Azmi berkata, pihaknya bercadang untuk menghantar dua orang anak Mohd Zulkifli iaitu, Shafiq dan Shahri ke Yayasan al-Bukhari untuk mendapatkan pendidikan lebih teratur.

Menurutnya, anak-anak sepatutnya mendapat didikan yang sempurna kerana mereka merupakan aset yang bernilai.

“Siapakah yang akan membantu ahli keluarga selain anak-anak. Disebabkan itu, pelajaran memainkan peranan yang penting. Sekiranya kita susah mana sekalipun, pelajaran anak-anak perlu dititikberatkan,” katanya.

“Sekiranya ibu bapa mereka membenarkan, saya akan membuat surat sokongan untuk memastikan anak-anak ini mendapat didikan yang lebih baik,” katanya.

Azmi turut menggesa semua agensi kerajaan untuk tampil melawat keadaan keluarga ini seterusnya menyampaikan bantuan yang sewajarnya.

No comments:

Post a Comment