Monday 3 October 2011

Pengedar dadah nekad cuba rempuh polis





2011/10/04

SEGAMAT: Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah bertindak nekad cuba merempuh anggota polis yang cuba menahannya menggunakan Proton Wira dipandu, selepas panik premis pengedaran dadahnya di sebuah ladang sawit di Felda Redong, Kemelah dekat sini, diserbu polis Rabu lalu. 

Akibat tindakan suspek, anggota polis terbabit terpaksa mengelak sebelum melepaskan dua das tembakan ke arah tayar belakang kereta dipandu pengedar terbabit namun tersasar menyebabkan lelaki itu meloloskan diri.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, sepasukan polis melakukan intipan selama kira-kira lima jam di ladang berkenaan sebelum cuba menahan lapan lelaki dipercayai penagih dadah dan seorang lelaki disyaki pengedar dadah di lokasi.
Sejurus serbuan, lapan lelaki dipercayai penagih dadah bertempiaran lari namun dapat diberkas polis, namun lelaki disyaki pengedar dadah terus memecut kenderaannya untuk meloloskan diri. 

Ketua Polis daerah Segamat, Superintendan Abd Majid Mohd Ali, berkata pihaknya melakukan Ops Tapis Khas bermula 24 hingga 30 September lalu dan berjaya menahan 38 penagih dadah di sekitar kawasan berkenaan. 

Katanya, dalam kejadian itu hasil maklumat risikan, sepasukan 10 anggota serta pegawai polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkenaan melakukan intipan di lokasi selama lima jam, sebelum melihat sekumpulan lapan lelaki memasuki ladang berkenaan diikuti sebuah Proton Wira kelabu bernombor pendaftaran JGH 9017. 

“Pada masa sama, lelaki yang dipercayai pengedar itu terus memandu laju dan cuba meloloskan diri menyebabkan dua anggota polis membonceng sebuah motosikal mengejar kereta berkenaan. 
“Bagaimanapun, apabila mereka menghampiri Proton Wira itu, lelaki berkenaan menghimpit motosikal dinaiki dua anggota polis menyebabkan penunggangnya hilang kawalan lalu terjatuh. 

“Pada masa sama, seorang anggota polis lagi cuba menghalang suspek berkenaan namun lelaki itu bertindak cuba merempuhnya, " katanya di sini semalam. 

Katanya, selain menahan lapan penagih dadah berkenaan, pihaknya menemui 7.1 gram heroin, sembilan biji pil Erimin 5, 2.3 gram ganja dan 0.35 gram syabu. 

Berikutan itu, katanya, sesiapa yang mengenali suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Segamat di talian 07-931222.

No comments:

Post a Comment