Dalam kejadian pukul 8.15 malam itu, hanya mangsa berusia 62 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori dan juruwang kafe siber yang berusia 55 tahun berada di dalam premis tersebut.
Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Supritendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, kejadian berlaku apabila premis itu didatangi oleh tiga lelaki bertopeng yang memakai topi keledar dan bersenjatakan parang serta sebilah kapak.
Katanya, salah seorang suspek yang memegang kapak menghampiri pengadu sebelum bertindak mengacukan senjata itu ke leher sambil meminta wang.
"Seorang lagi suspek yang memegang parang meminta wang daripada pemandu lori itu, tetapi lelaki tersebut memberitahu tidak mempunyai wang menyebabkan suspek berang.
"Suspek lalu bertindak menetak bahu dan lengan kiri mangsa beberapa kali sebelum mereka melarikan diri," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, kesemua suspek yang berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu dipercayai melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Waja.
Tambahnya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk menerima rawatan.
Katanya, kafe siber tersebut mengalami kerugian wang tunai kira-kira RM1,200 dan polis masih memburu kesemua suspek.
"Kes masih dalam siasatan dan akan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment