Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tasek, Abdul Rahman Yusof berkata, Zainap Ibrahim, 52, hanya tinggal berseorangan di rumah usang selepas kematian suami terpaksa menyara hidup dengan mengambil upah di sebuah kilang berhampiran.
“Menerusi jiran sekeliling, Zainap yang hidupnya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang itu terpaksa menyara hidupnya dengan makan nasi yang digaulkan air garam akibat ketiadaan duit untuk membeli juadah sampingan.
“Perasaan sedih dan simpati menyelubungi diri ini apabila mendapat tahu ada penduduk yang terpaksa hidup dalam keadaan sedemikian,” katanya.
Menurutnya, masalah berkenaan terus diselesaikan dengan kerjasama pihak JKKK dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Bakap, Makhtar Shapee.
“Bantuan segera dihulurkan bagi meringankan beban yang ditanggung dan bantuan bulanan juga akan diusulkan kepada pihak yang terlibat bagi membolehkan Zainap mendapat bantuan yang setimpal,” katanya.
Sementara itu, Zainap ketika ditemui di rumahnya berkata, akibat kemiskinan hidup, dia terpaksa bekerja di kilang berhampiran dengan gaji bulanan sekitar RM300.
“Dengan kos hidup yang semakin meningkat, gaji bulanan yang diterima sekadar ‘cukup-cukup makan’ sahaja.
“Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih atas pemberian sumbangan kewangan yang diberikan ini. Segala jasa baik, Tuhan sahaja yang dapat membalasnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment