Monday, 3 October 2011

Peralatan filem Harry Potter akan dipamer



LABAH-LABAH gergasi akan menjadi daya tarikan di Studio Leavesden di pinggir London.


LONDON - Syarikat perfileman Warner Brothers akan membuka pameran Harry Potter di Studio Leavesden di pinggir London sekali gus memberi peluang kepada orang ramai untuk melihat magis yang ditonjolkan dalam filem-filem ahli sihir remaja berkenaan.
Bagi tujuan itu, studio perfileman Hollywood yang menerbitkan francais paling menguntungkan di dunia itu telah memindahkan Dewan Besar asal sekolah sihir, Hogwarts School of Witchcraft and Wizardry yang digunakan dalam filem Harry Potter ke studio Leavesden yang diubah suai.
Apabila ia dibuka pada musim bunga tahun depan, orang ramai boleh menyaksikan pelbagai karakter, kostum, peralatan dan set latar asli yang pernah digunakan dalam filem berkenaan.

SALAH satu kostum ikan duyung yang digunakan dalam filem Harry Potter akan dipamerkan di Studio Leavesden di pinggir London.


Antara bakal tarikan di studio tersebut termasuk labah-labah gergasi Aragog yang tergantung di atas siling manakala peminat juga boleh bergambar dalam kereta terbang Ford Anglia yang digunakan dalam filem Harry Potter and the Chamber of Secrets.
Tiket Studio Tour London The Making of Harry Potter itu akan mula dijual pada 13 Oktober ini.
Tiket kanak-kanak berharga £21 (RM104.73), £28 (RM139.65) untuk orang dewasa manakala tiket keluarga dengan empat anggota pula berharga £83 (RM414).
Apabila ia dibuka kelak, taman tema tersebut boleh memuatkan sekitar 5,000 pelawat pada setiap hari. - Reuters

No comments:

Post a Comment