Monday, 3 October 2011

Peragut ditahan 3 lelaki

PETALING JAYA: Seorang lelaki bermotosikal yang meragut beg tangan milik seorang wanita yang mahu memasuki keretanya di Jalan PJS4/53, dekat sini, berjaya diberkas orang ramai kira-kira lima minit selepas kejadian itu, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, mangsa berusia 38 tahun itu dikatakan baru keluar dari rumahnya dan sedang berjalan menuju ke arah keretanya sebelum suspek tiba-tiba meragut beg tangannya selain menolak mangsa ke jalan. Menurut sumber, berikutan cedera di tangan, mangsa tidak dapat melawan suspek, namun tiga lelaki yang tinggal di kawasan perumahan itu menyedari tindakan suspek lalu menunggu lelaki itu di jalan keluar sebelum menendang motosikalnya menyebabkannya terjatuh.

Katanya, ketika itu, suspek dikatakan masih berusaha melarikan diri dan melawan tiga lelaki berkenaan tetapi gagal selepas lebih ramai penduduk mengepungnya sebelum lelaki berusia 30-an itu dapat ditahan dan diserahkan kepada polis.

Menurutnya, sepasukan anggota peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya yang tiba di lokasi kejadian kemudian membawa suspek ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed berkata, hasil maklumat orang ramai, pasukan peronda ke tempat kejadian.

No comments:

Post a Comment