Monday 3 October 2011

Pandu cuai, laju: Peniaga didenda



KOTA BHARU – Akibat kecuaian sehingga kereta dipandu terbabas melanggar dua kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diletakkan di hadapan sebuah kedai makan di sini, tahun lalu, seorang peniaga dikenakan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Peniaga berkenaan, Mohd Nurhaffis Mohd Nasir didenda mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (akta 333/87) yang memperuntukkan denda tidak kurang RM4,000 dan tidak lebih daripada RM10,000 dan boleh juga dikenakan penjara tidak melebihi 12 tahun jika sabit kesalahan.

Mohd Nurhaffis didakwa memandu tanpa pertimbangan yang munasabah itu di Kampung Landak, Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa pada jam 8 pagi, 24 Disember 2010.

Berdasarkan fakta kes, dalam kejadian itu, kereta jenis Hinda Civic dipandu Mohd Nurhaffis terbabas dan melanggar MPV jenis Nissan Grand Livina yang tiada pemandu sebelum MPV berkenaan melanggar pula sebatang tiang telefon dan pokok.

Menurut fakta itu lagi, kereta Mohd Nurhaffis turut melanggar sebuah lagi MPV lain jenis masa yang diletakkan di hadapan kereta Nissan Grand Livina tersebut.

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian Mohd Nurhaffis yang tidak memberi perhatian sepenuhnya ketika memandu selain memandu dengan kelajuan yang tinggi.

Pada prosiding semalam, Majistret Nur Zakiyah Shamsudin turut menjatuhkan hukuman empat bulan penjara jika denda berkenaan gagal dijelaskan. 

No comments:

Post a Comment