Monday, 3 October 2011

Israel makin terpencil

WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Leon Panetta berkata, ‘Kebangkitan Arab’ menyebabkan Israel semakin terpencil di Asia Barat.
Menurutnya, kekuatan tentera rejim itu tidak mungkin dapat membantu menangani kelemahan diplomatik.

Bercakap kepada wartawan di atas pesawat yang membawanya ke Israel sebagai sebahagian daripada lawatannya ke Asia Barat, Panetta berkata, adalah penting bagi Israel membaiki hubungan dengan Mesir dan negara lain di rantau itu yang terbukti banyak membantunya pada masa lalu.

“Kekuatan Israel tidak boleh dipersoalkan. Tetapi soalan yang anda perlu ajukan ialah adakah cukup untuk mengekalkan kekuatan tentera jika anda sendiri yang memencilkan diri anda dalam arena diplomatik,” kata Panetta.

“Dengan apa yang berlaku di Asia Barat ketika ini, adalah tidak bagus bagi Israel untuk semakin terpencil. Tetapi itu yang berlaku,” katanya.

Panetta yang dijadual berbincang dengan pemimpin Israel dan Palestin sebelum berlepas ke Mesir hari ini dan menghadiri sidang Nato di Brussels berkata, Israel perlu membaiki hubungan diplomatik dengan negara seperti Mesir dan Turki.


Beliau berkata, Washington bersedia membantunya.

“Saya berpendapat, untuk keselamatan rantau itu, adalah penting kami membantunya meningkatkan semula hubungan dengan negara seperti Turki dan Mesir, kata Panetta.

Jurucakap beliau, George Little berkata, Panetta melihat pemencilan Israel adalah kerana perbuatannya sendiri serta beberapa perkembangan yang di luar kawalannya. - AP

No comments:

Post a Comment