Monday 3 October 2011

Pelanggan pusat internet cedera ditetak penyamun



KUANTAN - Kunjungan seorang pemandu lori ke sebuah pusat internet di sini mengundang musibah apabila premis tersebut dimasuki tiga perompak bertopeng bersenjatakan kapak dan parang, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam Sabtu lalu itu, mangsa cedera di bahagian lengan kiri akibat ditetak beberapa kali oleh salah seorang suspek mengunakan parang.

Kejadian dipercayai berlaku selepas suspek naik angin kerana mangsa tidak mempunyai wang ketika itu.

Pegawai Turus Urus Setia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, penjaga premis turut berdepan detik mencemaskan apabila seorang suspek bersenjatakan kapak menyerbu ke kaunter dan merampas wang tunai RM1,200.

Menurutnya, lelaki berusia 55 tahun itu bagaimanapun terselamat dan tidak dicederakan dalam kejadian tersebut.

“Kedua-dua mangsa itu berada di dalam premis yang terletak di Medan Warisan di sini sebelum didatangi tiga lelaki bertopeng .

“Dua daripada lelaki itu turut memakai topi keledar bagi mengelak wajah mereka dicam mangsa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Noor Asyikin berkata, dua suspek meluru ke arah penjaga kaunter dan pelanggan manakala seorang lagi memantau keadaan di muka pintu.

“Selepas mendapat habuan mereka, suspek segera beredar manakala mangsa yang parah di bahagian lengan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuna Afzan (HTAA) Kuantan bagi menerima rawatan.

“Ekoran kejadian itu, polis menjalankan siasatan bagi mengesan suspek yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan mangsa, suspek berusia dalam lingkungan 20- hingga 30-an bagaimanapun wajah mereka gagal dicam kerana bertutup dengan topeng dan topi keledar.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment