Monday 3 October 2011

Salesman ‘kebas’ duit pelanggan



JOHOR BAHRU – Sikap lepas tangan urusan pembelian kereta membuatkan sebuah syarikat menjual kereta diperintahkan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar RM1,300 kepada pelanggannya.

Presiden TTPM, Faridah Abrahim dalam penghakimannya memerintahkan syarikat berkenaan membayar wang itu kepada Aishah Othman dalam masa 14 hari dari tarikh award dikeluarkan.

Aishah, 34, seorang penganalisis di syarikat swasta menempah kereta Proton Saga Facelift (FL) menerusi syarikat itu Jun lalu.

Pembelian dibuat menerusi jurujual syarikat itu yang memintanya membayar deposit RM2,000 dan dijanjikan penyerahan kereta dibeli tiga hari selepas pembayaran.

“Saya membayar deposit dua kali iaitu RM500 pada 4 Jun dan bayaran kedua pukul 9 malam keesokan harinya RM1,500. Resit diberikan untuk bayaran pertama, manakala bayaran kedua tidak berikan resit kerana sudah lewat malam.

“Bagaimanapun, jurujual tersebut menulis surat pengesahan menerima bayaran itu serta menandatanganinya mewakili syarikatnya,” katanya.

Selepas tiga hari kereta dijanjikan tidak diterima dan jurujual tersebut menghilangkan diri.

Apabila dirujuk kepada syarikat tersebut, dia dimaklumkan jurujual berkenaan melarikan diri dengan wang itu dan wang pelanggan lain.

“Bagi mendapatkan kereta itu, saya diminta membayar RM1,300 lagi dan deposit RM1,500 dikira hangus. Dan saya hanya memohon wang RM1,300 saya dikembalikan oleh pihak syarikat berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment